top of page

25 tahun KEADILAN: Parti pelbagai kaum paling berjaya di Malaysia



KEADILAN merupakan parti berbilang kaum paling berjaya dalam sejarah politik moden Malaysia.


Hal itu dinyatakan oleh pimpinan KEADILAN Kedah, Saiful Izham Ramli dalam temubual di media sosial Suara Madani baru baru ini.


Menurut beliau, sejarah awal menubuhkan parti berbilang kaum itu begitu perit kerana pengalaman sebelum tahun 1998 parti seperti itu tidak pernah mendapat tempat di Malaysia.


"Sebelum 1998 dominasi politik dikuasai parti berasaskan perkauman, UMNO, Pas, DAP sebagai tiga yang terbesar.


"Sebelum itu ada parti berasaskan pelbagai kaum tetapi gagal. Pertama Parti Negara, kemudian parti Gerakan yang akhirnya didominasi satu kaum


"Bila kita nak menggerakkan KEADILAN sebagai pelbagai kaum, ia dipandang sinis berikutan kegagalan parti sebelumnya," kata beliau yang sebelum ini pernah menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada pemilihan 2022.


Apatah lagi tambah Saiful, parti pemerintah pada ketika itu BN, menggunakan hantu perkauman untuk menakut nakutkan Melayu, Cina dan India yang cuba berubah daripada akar sokongan berasaskan kaum.


Bagaimanapun, katanya, berkat keteguhan jiwa tokoh Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sahabat baiknya Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor yang sentiasa memberi dokongan kuat, Parti Keadilan Nasional akhirnya tertubuh pada April 1999.


"Jangan terkejut saya kata gabungan asal penubuhan KEADILAN ini, gabungan dua tokoh. Satu tokoh terpenjara dan satu lagi kawan rapat dia di luar. Iaitu Anwar Ibrahim dan Ustaz Fadzil Noor.


"Ketika awal gerakan Reformasi berjalan Datuk Seri Anwar masuk dalam (penjara), ketika itu kepercayaan awal (berpolitik), orang Melayu perlu pergi kepada Pas, bukan Melayu perlu pergi kepada PRM atau DAP


"Tetapi kedua dua tokoh ini dengan berani melawan arus menggagaskan satu parti baru gabungkan pelbagai kaum, NGO, orang perseorangan (NGI) dan dari (sepihan) UMNO. Maka tertubuhlah KEADILAN," katanya.


Dalam mengimbau nostalgia 25 tahun itu, kata Saiful, banyak hal yang tidak diketahui oleh generasi penggerak KEADILAN hari ini perlu didedahkan.


Katanya, berbanding sekarang, pejuang awal mengorbankan begitu banyak harta peribadi untuk memastikan parti terus kekal berfungsi.


"Perbadingan dulu dan sekarang jauh berbeza. Peringkat awal gerakan Refromasi kita tidak berpaksikan kepada parti. Dalam Pas ada gerakan reformasinya, dalam DAP pun ada, PRM ada.


"Keadaan waktu dahulu sukar. Kita parti yang tumbuh dalam keadaan pemimpin berada di dalam. Kita tak ada sumber kewangan. Semua keluar wang sendiri.


"Saya dulu dengan kawan kawan, pagi kerja. Petang lepas pukul 4.30 memandu ke Kota Bharu beri ceramah. Habis ceramah hari yang sama (pulang ke Kuala Lumpur) pergi masuk kerja," katanya.


Saiful turut memberi nasihat melihat prestasi semasa KEADILAN yang kurang mendapat sokongan anak muda. Beliau berkata, pada peringkat awal pemuda KEADILAN mendominasi perjuangan dan hala tuju parti.


Katanya, generasi muda tertarik dengan sayap pemuda KEADILAN kerana membincangkan perkara perkara yang tidak pernah dibicarakan oleh parti lain ketika itu.


Oleh itu, beliau berharap KEADILAN akan menemukan pendekatan baharu bagi menarik sokongan generasi muda pada ketika ini.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page