240 pusat mengundi dibuka, 675,166 pilih wakil rakyat hari ini



Sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi membolehkan rakyat Melaka memilih wakil rakyat masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat untuk mengisi keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
SPR menyasarkan kadar keluar mengundi sekitar 70 peratus, iaitu sasaran yang disifatkan sebagai realistik bagi pilihan raya peringkat negeri.

Secara keseluruhan, PRN Melaka kali ini melibatkan 687,697 pemilih berdaftar, termasuk 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 anggota polis yang telah diberikan kemudahan pengundian awal pada 10 November lalu.
Pengundian biasa dijadual berlangsung dari 8 pagi hingga 6 petang, tertakluk kepada waktu operasi pusat mengundi masing-masing.
Seramai 79 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN pada pilihan raya kali ini.
Dalam memastikan kelancaran proses pengundian, SPR telah menggerakkan petugas pilihanraya di seluruh negeri serta melaksanakan persiapan logistik termasuk penyediaan peti undi, kertas undi, dakwat pilihanraya dan kelengkapan di setiap saluran.
Pengundi turut dinasihatkan membawa kad pengenalan dan menyemak maklumat pusat serta saluran masing-masing menerusi portal atau aplikasi MySPR Semak sebelum hadir mengundi.
Keputusan PRN Melaka ke-16 bakal menentukan komposisi baharu DUN Melaka dan kerajaan negeri bagi penggal akan datang.
Hari ini, setiap undi membawa suara rakyat dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri Melaka.




Comments