23 Sukarelawan Dibebaskan 48 Jam: Kebijakan Anwar Dipuji Dunia
- Suara Keadilan

- Oct 6
- 3 min read

Oleh: Mohd Hisyamuddin Ghazali
ULASAN: 462 aktivis dari 17 negara ditahan rejim Zionis. 134 telah dibebaskan. 328 masih dalam penjara.
Negara-negara besar — Perancis, Sepanyol, Jerman, UK, Sweden, Itali, Sepanyol, Brazil dll — masih menunggu arahan Tel Aviv. Namun dalam masa 48 jam, 23 rakyat Malaysia bebas dari tahanan Zionis. Negara lain — dari Eropah hingga Amerika Latin — masih berunding, masih menunggu “lampu hijau” Tel Aviv.
Negara Besar Masih Menunggu, Malaysia Sudah Menamatkan Misi
Ketika dunia berperang dengan ego, Malaysia memilih jalan akal. Ketika yang lain menjerit di jalanan, Malaysia berunding di meja kuasa dunia.
Namun Malaysia tanpa kedutaan, tanpa kuasa veto, tanpa ancaman senjata — berjaya melakukan sesuatu yang mustahil di mata dunia.
Berikut adalah senarai Negara dan aktivis terlibat; Turkiye – 56 aktivis, Sepanyol – 49, Itali – 48, Perancis – 33, Tunisia – 28, Greece – 26, Amerika Syarikat – 22, Jerman – 19, Switzerland – 19, Algeria – 17, Ireland – 16, United Kingdom – 15, Brazil – 14, Sweden – 10, Belanda – 10, Malaysia semua 23 telah dibebaskan.
Diplomasi bukan kerana lemah tetapi cerdik
Seperti kata Sun Tzu dalam The Art of War:
“Kehebatan tertinggi bukan mengalahkan musuh dalam pertempuran, tetapi menundukkan musuh tanpa perlu berperang.”
Itulah Malaysia. Itulah Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution dan Tok Mat Hassan. Diplomasi Madani bukan kelemahan — ia seni menundukkan keangkuhan dunia dengan kebijaksanaan, bukan dengan kekerasan.
Tiga poros strategi — ASEAN, OIC dan kuasa besar
Malaysia bergerak dalam strategi tiga penjuru yang persis strategi Zhuge Liang dalam Three Kingdoms — menggabungkan kekuatan kecil untuk mengimbangi kuasa besar.

1. Vietnam — mewakili saluran ASEAN di Israel, menjadi jambatan diplomatik Malaysia melalui hubungan konsular.
2. Turkiye — memainkan peranan lapangan kerana akses terus ke pelabuhan Ashdod dan hubungan diplomatik aktif dengan Tel Aviv.
3. Amerika Syarikat — melalui rundingan Saifuddin Nasution dengan Steve Witkoff, wakil khas Presiden Donald Trump, membuka saluran strategik tanpa menggadaikan prinsip.
Inilah keindahan diplomasi Madani berunding tanpa tunduk, berdiri tanpa menentang, menegak maruah tanpa bergaduh.
Hikmah diplomasi para Nabi
Rasulullah SAW mengajar, bahawa kekuatan bukan hanya di hujung pedang tetapi di hujung akal dan kesabaran.
Ketika baginda berdepan Quraisy di Hudaibiyyah, baginda menandatangani perjanjian yang kelihatan “merugikan”.
Namun di situlah kemenangan bermula. Dalam masa dua tahun, Mekah tunduk tanpa peperangan.
Begitu juga Nabi Musa A.S., walau tahu Firaun zalim, baginda tetap diperintah oleh Allah untuk berdiplomasi dahulu:
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut.” (Surah Taha, 20:43-44)
Itulah asas diplomasi Islam — keras terhadap kezaliman, tapi lembut dalam pendekatan.
Rasulullah SAW juga berutus surat kepada Kaisar Rom, Kisra Parsi dan Raja Habsyah bukan sebagai pengemis kuasa, tapi sebagai utusan umat yang berdaulat dan yakin dengan prinsipnya.
Malaysia hari ini mewarisi roh itu. Anwar Ibrahim berdiri di tengah kuasa dunia, bukan tunduk, tapi dihormati. Saifuddin Nasution dan Tok Mat Hassan melaksanakan diplomasi moden dengan jiwa para anbiya —hikmah, sabar, dan maruah.
Kemenangan Malaysia ke atas Israel
Diplomasi Malaysia tidak perlu sorakan kerana hasilnya lebih besar dari gema suara politik jalanan. 23 rakyat Malaysia selamat,
maruah negara meningkat, nama Malaysia kembali bersinar di mata dunia.
Anwar Ibrahim berjaya meletakkan Malaysia di tengah-tengah poros kuasa dunia, bercakap dengan Ankara, berunding dengan Washington, dihormati Doha, dipercayai Hanoi.
Inilah politik zuhud dan realpolitik Islam dalam satu tubuh berprinsip dalam iman, bijak dalam tindakan.
Pembangkang menunggang isu
Pada waktu kerajaan menyelamatkan rakyat Malaysia, Pas dan Bersatu sibuk berarak di bawah slogan “Tolak URA”. Konon perjuangan Palestin, tetapi isi ceramah cuma kutuk PMX. Hamzah, Takiyuddin, Mukhriz, Ibrahim Ali, Afnan, R dan YB Jasin .
Hasilnya? Hanya 4,000 orang hadir. Tiada hala, tiada hasil, tiada hikmah.
Mereka lupa, dalam perjuangan sebenar, yang lantang tak semestinya benar, yang diam tak semestinya lemah.
Kebijakan Anwar, Saifuddin, Tok Mat Hassan
Anwar Ibrahim memahami geopolitik seperti Sun Tzu memahami perang —“Bila musuh marah, kawal diri. Bila musuh tenang, bergerak diam-diam.”
Saifuddin Nasution pula mengemudi KDN sebagai benteng diplomasi keselamatan rakyat. Tok Mat Hassan memimpin Wisma Putra sebagai diplomat strategik yang tahu bila bercakap dan bila diam.
Mereka bertiga bukan sekadar mentadbir negara, tetapi menghidupkan semula seni diplomasi Islam yang hilang dalam dunia moden.
Diplomasi Madani ialah jelmaan strategi Rasulullah SAW iaitu hikmah ketika ditindas, sabar ketika difitnah, bijak ketika diuji.
“Dan tolonglah agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu, dan meneguhkan kedudukan kamu.” (Surah Muhammad, 47:7)
Malaysia tidak menjerit “lawan”, tapi dunia mendengar suaranya. Malaysia tidak menghina kuasa besar, tapi kuasa besar menghormati prinsipnya. Hal itu kerana Malaysia mempunyai pemimpin yang berfikir seperti negarawan, bukan beremosi seperti penunggang isu.
Dan selama mana Malaysia dipimpin oleh mereka yang berfikir dengan hikmah, negara ini akan terus menjadi obor kecil yang menerangi dunia gelap kuasa besar.
“Diplomasi Madani bukan sekadar strategi, tapi seni meniru hikmah Rasul untuk menundukkan zalim tanpa menumpahkan darah.”
Penulis yang dikenali sebagai Syam Ghaz merupakan aktivis Pakatan Harapan Kelantan









Comments