top of page

2026: Selangor sasar selesai isu hak milik strata di enam projek perumahan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 22, 2025
  • 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor mengenal pasti sekurang-kurangnya enam projek perumahan kos rendah dan sederhana untuk tindakan penyelesaian isu hak milik strata tahun depan.


Exco Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah (gambar) berkata, projek membabitkan kira-kira 2,000 petak itu kini dalam proses pengesahan oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum dimuktamadkan bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).


"Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga sedang mengenal pasti beberapa lagi projek lain yang berpotensi untuk turut diselesaikan mengikut keutamaan dan kesediaan teknikal," katanya dipetik.


Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat sementara itu menjelaskan, anggaran kos terperinci masih belum dapat dimuktamadkan, manakala pelaksanaan projek pula hanya akan ditentukan selepas semua proses pengesahan teknikal dan kelulusan selesai.


Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu perumahan berstrata di negeri itu secara holistik.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pentadbirannya telah melancarkan Insentif Dana Strata Selangor (DSS) pada 30 Mei lalu sebagai langkah penting untuk menyelesaikan isu hak milik strata membabitkan kira-kira 600 skim perumahan melibatkan lebih 130,000 petak di seluruh negeri itu.


Selain memfokuskan isu pemilikan strata, Kerajaan Negeri turut memfokuskan usaha menaik taraf infrastruktur dan pembangunan sosial di komuniti terbabit.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page