20 wanita Petagas hadiri bengkel buat sabun dari minyak masak kitar semula
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Pembuatan sabun menggunakan minyak masak kitar semula selain menjimatkan perbelanjaan dapur dalam kalangan isi rumah juga diharap mampu menyumbang kepada penjagaan alam sekitar.
Sehubungan itu, hari ini seramai 20 wanita di Petagas, Putatan, Sabah telah menyertai bengkel membuat sabun. Bengkel ini dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Pn Nurin Aina Abdullah, dan dikendalikan oleh Pn Norazizah Ruslan.
"Bengkel sabun dengan menggunakan teknik ‘cold process’ ini mudah dipelajari dan menggunakan bahan yang mudah didapati.

"Kali ini, peserta membuat sabun basuh dari minyak masak terpakai dan sabun mandi dari hampas kopi," kata Norazizah Ruslan kepada pemberita.
Dalam pada itu, Nurin Aina yang teruja dengan konsep ‘waste to wealth’ yang diterapkan bengkel itu berharap ilmu tersebut akan dikembangkan oleh para peserta yang hadir.
"Saya gembira melihat peserta bersemangat mempelajari kemahiran baru. Ini antara cara menjaga alam sekitar dengan konsep kitar dan guna semula.
"Ini seiring dengan inisiatif ‘waste to wealth’ yang sering disebut oleh YB Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)," ulas Nurin Aina.
Bagi Ketua Cabang Putatan, Awang Husaini Suhairi pula, biarpun pertama kali diadakan bengkel membuat sabun di daerah Putatan namun beliau akan mencuba untuk menganjurkan program kemahiran seperti itu pada masa akan datang di kawasan berkenaan.
Dalam program hari ini sebanyak 10 kg minyak masak terpakai telah dijadikan sabun basuh. Manakala sabun kopi dihasilkan dengan gabungan minyak sawit, minyak kelapa, dan minyak zaitun.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya memberikan pendedahan dan kemahiran baru kepada peserta, sambil mempromosikan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar.
Ia merupakan satu langkah proaktif dalam menjayakan kempen kesedaran mengguna semula bahan buangan domestik menjadi produk kegunaan harian.