top of page

20 ribu saman tertunggak: Perkenal hukuman pemandu, syarikat pengangkutan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 4
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa agar segera melaksanakan reformasi menyeluruh, termasuk mewujudkan sistem pendedahan awam yang telus dan masa nyata terhadap rekod kesalahan trafik.


Gesaan itu dilakukan oleh Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Lai Cheng Heng (gambar) yang mencadangkan mana-mana syarikat yang mempunyai saman tertunggak melebihi had munasabah, digantung lesen operasi secara automatik atau dihentikan operasi bagi tujuan siasatan menyeluruh.


Katanya, Mahkamah Trafik dan agensi penguatkuasaan perlu memperkukuh perkongsian data rentas agensi bagi memastikan semua rekod saman tertunggak dapat dikesan serta-merta, serta tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pembaharuan cukai jalan dan pemeriksaan kenderaan.


''Saya turut mencadangkan pelaksanaan mekanisme hukuman yang lebih berat ke atas pesalah berulang termasuk memperkenalkan konsep 'tanggungjawab bersama' di mana syarikat pengangkutan turut dipertanggungjawabkan terhadap kesalahan yang dilakukan pemandu mereka dan bukan sekadar meletakkan semua beban kepada pemandu.


''Langkah ini akan mendorong syarikat agar lebih bertanggungjawab serta memperketat pemantauan dalaman terhadap tingkah laku pemanduan kakitangan mereka. Paling penting, kerajaan perlu menilai semula sistem latihan dan pengambilan pemandu,'' katanya dalam satu kenyataan.


Beliau merujuk kepada isu pendedahan terkini oleh MOT berhubung senarai hitam kesalahan trafik dan sebuah syarikat dilaporkan mempunyai lebih 20,000 saman tertunggak.


Tegas beliau, reformasi terhadap sistem keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan segera.


''Kita tidak boleh menunggu sehingga lebih banyak nyawa melayang sebelum bertindak. Saya menyokong penuh ketegasan dan pendedahan MOT, namun adalah ebih penting untuk memastikan pelaksanaan reformasi menyeluruh selepas ini.


''Bukannya kempen amaran bermusim semata-mata. Nyawa rakyat bukan untuk dipertaruhkan.


''Dalam sektor pengangkutan awam dan kenderaan berat yang membawa nyawa orang ramai, standard keselamatan sepatutnya jauh lebih tinggi berbanding kenderaan persendirian,'' ujar beliau yang juga Ketua Cabang Wangsa Maju.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page