1MDB: Kerajaan bayar hutang RM42.5 bilion
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Persekutuan telah membayar sebanyak RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga 30 Jun lalu.
Jumlah itu merangkumi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain berkaitan syarikat pelaburan strategik negara tersebut.
Menteri Kewangan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan masih menanggung komitmen Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) yang dijamin berjumlah RM8.9 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM5 bilion merupakan bayaran prinsipal manakala baki RM3.9 bilion adalah faedah dengan tempoh matang pada tahun 2039.
"Ini menjadikan keseluruhan tanggungan kerajaan berkaitan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung berjumlah RM51.4 bilion.
"Bagaimanapun, kerajaan setakat ini berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion," kata Kementerian Kewangan dalam jawapan kepada soalan lisan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sekiranya tiada lagi pemulihan dana atau aset berjaya dilakukan pada masa hadapan, kerajaan dijangka masih perlu menanggung baki liabiliti bersih sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi 1MDB, menurut jawapan tersebut.
Kerajaan menegaskan isu 1MDB bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan besar kepada negara malah memberi kesan terhadap reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Skandal berkenaan mencetuskan liputan media global, siasatan oleh agensi penguatkuasaan pelbagai negara serta prosiding mahkamah rentas sempadan.
"Keadaan tersebut turut memberi kesan terhadap persepsi antarabangsa terhadap tadbir urus, integriti institusi awam dan pengurusan kewangan negara," kata jawapan itu lagi.
Justeru itu, pentadbiran MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan kepada pengukuhan tatakelola dan pemulihan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, katanya.
"Antara hasil yang diketengahkan kerajaan ialah pencapaian rekod tertinggi pelaburan diluluskan dan perdagangan negara selain peningkatan kedudukan dalam indeks daya saing dunia," ujarnya.
Dalam pada itu, jawapan tersebut menyenaraikan langkah diambil bagi memulihkan dana 1MDB dengan meneruskan usaha mendapatkan semula dana dan aset syarikat pelaburan itu.
Langkah itu adalah:
1. Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri
Kerajaan meneruskan tindakan pendakwaan jenayah dan sivil terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkaitan kes 1MDB. Mahkamah Tinggi pada 25 Disember 2025 menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan berkaitan wang haram dan penggunaan kedudukan untuk memperoleh suapan.
2. Tuntutan terhadap isteri bekas PM, Datin Seri Rosmah Mansor
Kerajaan turut mengambil tindakan saman sivil terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan kembali AS$380 juta berkaitan dana 1MDB yang didakwa digunakan untuk pembelian barangan mewah termasuk beg tangan dan barang kemas.
3. Tindakan terhadap Jho Low
Tindakan jenayah dan sivil juga diteruskan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikenal pasti sebagai antara individu utama dalam penyelewengan dana 1MDB.
Nilai tuntutan sivil terhadap beliau adalah sebanyak AS$3.78 bilion.
4. Tindakan terhadap individu dan institusi antarabangsa
Kerajaan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap Tarek Obaid dan Patrick Mahony yang terlibat dalam kes penyelewengan 1MDB. Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland sebelum ini menjatuhkan hukuman terhadap kedua-duanya serta mengarahkan bayaran ganti rugi berjumlah AS$1.75 bilion kepada 1MDB.
Saman sivil turut difailkan terhadap beberapa institusi kewangan antarabangsa yang dikaitkan dengan penyelewengan dana tersebut.




This report highlights the serious impact of financial mismanagement and the importance of stronger governance, transparency, and accountability in protecting public trust. Beyond reading about complex issues like this, I usually enjoy relaxing with some casual entertainment, and recently I’ve been spending time with Drift Hunters because its realistic drifting mechanics and smooth gameplay are a great way to unwind.