top of page

1MDB bukan isu lama: Rakyat masih perlu bayar hutang RM51.4 bilion - Sivamalar

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
23 minutes ago
2 min read

Rakyat Malaysia masih terpaksa menanggung beban kewangan daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang jumlah keseluruhan tanggungannya mencecah RM51.4 bilion, ketika ura-ura mengenai kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah kembali menjadi perhatian.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Sivamalar Genapathy (gambar) berkata, sandal 1MDB bukan sejarah lama yang boleh dianggap selesai kerana kesan kewangannya masih ditanggung negara sehingga kini.


Beliau berkata berdasarkan jawapan rasmi Kementerian Kewangan di Parlimen, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB setakat 30 Jun 2026.


"Namun tanggungan itu masih belum berakhir. Kerajaan masih perlu menanggung Sukuk Islamic Medium Term Notes (IMTN) berjumlah RM8.9 bilion, merangkumi RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah sehingga matang pada 2039.


"Ini menjadikan keseluruhan tanggungan sekitar RM51.4 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sivamalar berkata persoalan yang wajar ditanya ialah siapa akhirnya menanggung kos berpuluh-puluh bilion ringgit itu jika bukan rakyat dan pembayar cukai.



"Ia dibayar menggunakan sumber kewangan negara yang pada akhirnya merupakan wang rakyat dan pembayar cukai," ujarnya.


Sivamalar berkata komitmen kewangan itu akan terus ditanggung negara sehingga 2039 sekali gus menunjukkan kesan skandal 1MDB masih mempunyai implikasi langsung terhadap kewangan awam.


Kata beliau jumlah sebesar itu sepatutnya mempunyai nilai yang besar kepada rakyat sekiranya dapat disalurkan kepada keperluan negara termasuk sekolah, hospital, pengangkutan awam, perumahan dan membantu keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.


"Sebaliknya, duit rakyat Malaysia dan pembayar cukai masih perlu digunakan untuk memenuhi hutang, prinsipal dan faedah berkaitan 1MDB sehingga tahun 2039," katanya.


Beliau berkata isu berkenaan kekal relevan kerana kesan kewangan 1MDB belum berakhir meskipun skandal itu berlaku bertahun-tahun lalu.


"Kita belum lupa kerana komitmen kewangannya masih ditanggung negara. Kita belum lupa kerana kesannya masih dirasai melalui penggunaan sumber kewangan awam," katanya.


Sivamalar berkata isu tersebut bukan soal dendam politik sebaliknya berkaitan amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab terhadap rakyat.


"Ini bukan soal dendam politik. Ini soal amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab kepada rakyat Malaysia," katanya.


Beliau menegaskan pihak yang diberikan kuasa perlu sentiasa mengingati bahawa wang negara ialah wang rakyat dan sebarang penyalahgunaan amanah akhirnya memberi kesan kepada rakyat.


"Rakyat tidak sepatutnya menjadi pihak yang menanggung akibat daripada kegagalan mengurus amanah dan kewangan negara," katanya.


Isu tahanan rumah Najib kembali menjadi perhatian susulan dakwaan wujud titah tambahan yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman di rumah.


Namun dari sudut rekod proses pengampunan, Mahkamah Tinggi pada Disember 2025 memutuskan bahawa isu tahanan rumah itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.


Mahkamah mendapati minit mesyuarat hanya merekodkan keputusan pengurangan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Tiada perbincangan mengenai tahanan rumah direkodkan dan tiada nasihat Lembaga Pengampunan diberikan mengenai perkara itu.


Keputusan itu juga menyebabkan permohonan Najib untuk mendapatkan perintah supaya beliau menjalani baki hukuman di rumah ditolak sebelum beliau memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.


Dalam kenyataan terbaru hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tidak membuat keputusan muktamad untuk memberi atau menolak pengampunan Najib.


Sebaliknya, selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini, baginda menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.


Pada mesyuarat yang sama, pengampunan diberikan kepada 65 banduan lain.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page