top of page

120 bekas ahli Bersatu Pulai istihar sokong Pakatan Harapan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read
Faezuddin berkata ahli Bersatu menyokong calon PH di DUN Kempas. Foto kredit: MalaysiaGazette
Faezuddin berkata ahli Bersatu menyokong calon PH di DUN Kempas. Foto kredit: MalaysiaGazette

Lebih 120 bekas ahli dan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pulai mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).


Calon PH bagi DUN N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, antara mereka yang tampil menyatakan sokongan tersebut antaranya bekas Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Bahagian Pulai, Rafidah Ani; bekas Setiausaha Srikandi Bahagian Pulai, Noriah Mat Daud.


Turut serta adalah beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan Bersatu Pulai.


"Mereka telah menyatakan hasrat menyokong PH lebih awal, namun memilih untuk mengumumkannya secara terbuka hari ini ... mereka juga telah memaklumkan perkara itu kepada pimpinan (Bersatu)," katanya dipetik laporan media.


Muhammad Faezuddin, sementara itu mendedahkan faktor utama mereka menyokong PH adalah didorong pendekatan gabungan itu yang mengamalkan pendekatan membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik.


"Apabila menjadi wakil rakyat atau kerajaan, kita ambil pendekatan bantu semua... tanpa mengira mereka daripada Bersatu, UMNO, KEADILAN, DAP atau mana-mana parti… kita bawa budaya politik baharu, bukan budaya lama yang hanya membantu penyokong atau kroni parti tertentu," jelas Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor itu.


Sementara itu, Rafidah mengakui rasa kecewa terhadap kepimpinan Bersatu yang sukar memberikan penghargaan serta bantuan kepada masyarakat mendorong beliau beralih arah ke PH.


Beliau juga mendedahkan, sepanjang bersama Bersatu, berhasrat membantu golongan memerlukan seperti ibu tunggal berdepan kesukaran kerana tidak mendapatkan sokongan yang sewajarnya daripada parti itu.


Manakala bekas Pengerusi Bersatu Cawangan Bukit Mewah, Mohd Suhimi Abdul Rahman yang turut hadir pada sidang media itu berkata kekecewaan terhadap layanan serta kegagalan mendapatkan bantuan untuk penduduk setempat menjadi punca beliau dan ahli lain meninggalkan Bersatu.


"Saya harap PH akan bawa lebih banyak kemudahan serta kemajuan kepada Kempas termasuk dalam aspek ekonomi dan kesihatan penduduk," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page