top of page

12 MP - ADUN KEADILAN desak Israel dikenakan sekatan ekonomi



Serangan darat Israel ke atas Semenanjung Gaza yang bakal mengorbankan lebih banyak orang awam Palestin dikutuk oleh 12 Ahli Parlimen (MP) dan ADUN KEADILAN.


Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan mereka, Israel tidak sepatutnya meneruskan serangan darat pada ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun meluluskan resolusi gencatan senjata kedua dua belah pihak.


"Kami ingin menegaskan pendirian tidak berganjak dan mendokong sepenuhnya pendirian Kerajaan Malaysia menentang kezaliman tentera Israel terhadap rakyat Palestin dalam konflik di Timur Tengah.


"Pada saat dan ketika PBB telah meluluskan Resolusi Genjatan Senjata, tentera Israel tetap melancarkan Perang Darat di Gaza (dan ia) merupakan satu penghinaan terhadap keputusan kebanyakan masyarakat dunia.


"Sudah tiba masanya PBB wajar mengambil tindakan drastik dengan mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi terhadap Israel.


"PBB juga perlu memastikan bantuan kemanusiaan sampai di Gaza dengan mengambil kira mangsa kecederaan dan kematian setiap hari di Gaza yang telah mencecah 10,000 jiwa," kata kenyataan itu.


Selain itu, kumpulan 12 tersebut juga membetulkan salah tanggap terhadap kenyataan media mereka sebelum ini yang dianggap anti Palestin berkenaan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.


"Kenyataan media kami sebelum ini telah disalah tafsir berkenaan kebimbangan kami terhadap unsur keterlaluan yang mungkin wujud dalam Minggu Solidariti Palestin di sekolah, bukannya penentangan kami terhadap Palestin. Jauh lagi dikaitkan dengan menyokong tindak tanduk Israel.


"Ada antara kami yang telah menyatakan pendirian menentang kezaliman Israel di Dewan Parlimen, DUN, malahan di pentas antarabangsa," kata kenyataan itu.


Mereka turut mengecam dakwaan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa naratif yang mereka bawa bersamaan dengan propaganda media Barat.


"Hal itu mencerminkan pendekatan politik sempit beliau (Takiyuddin), iaitu sebarang cadangan konstruktif akan dilabelkan sebagai pendokong pihak lain.


"Momokan ini tidak membantu dalam meraih sokongan semua lapisan masyarakat untuk menyokong perjuangan Palestin. Perjuangan Palestin bukan perjuangan agama sahaja, tetapi merupakan perjuangan kebebasan dan hak rakyat yang tertindas.


"Maka penting untuk kita mewujudkan wacana yang konstruktif supaya dapat memperluaskan sokongan daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia dan peringkat antarabangsa," kata mereka lagi.


Kumpulan 12 itu juga menyatakan sokongan dan bersedia membantu inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan dalam memperjuangkan kemanusiaan dan solidariti kepada rakyat Palestin.


Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man; ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; ADN Rawang, Chua Wei Kiat; ADUN Semanbu, Chan Chun Kuang; ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi; ADUN Chuah, Yew Boon Lye; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADN Kajang, David Cheong Kian Yong; ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern dan ADUN Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page