10 NGO bergabung tolak gagasan ‘Payung Besar’ Dr Mahathir
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Sejumlah 10 NGO bergabung di bawah Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia (GKUM) sebagai menolak gagasan ‘payung besar’ Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi gerakan itu, Amidi Abdul Manan menegaskan bahawa gerakan Sekretariat Orang Melayu diwujudkan bekas perdana menteri dua kali itu berpaksikan fahaman politik kebangsaan yang sempit dan wajar ditolak semua pihak.
"Gerakan GKUM lahir daripada hasrat bersama untuk membina negara yang harmoni dan sejahtera. Perpaduan rakyat adalah teras yang tidak boleh diketepikan, dirosakkan mahupun dipermainkan.
"Kami dengan ini menyeru sama ada pemimpin atau masyarakat agar berikhtiar mewujudkan keperibadian, politik, ekonomi, sosial, teknologi dan tadbir urus yang sejahtera," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.
Terdahulu pada 4 Jun, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’ kononnya bagi membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan.
Bagaimanapun, sebahagian pihak melihat penubuhannya lebih kepada untuk mempermainkan dan mempergunakan sentimen Melayu bagi kepentingan politik
Sementara itu, Amidi yang juga Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN berkata penubuhan GKUM diaspirasikan oleh KEADILAN, Majlis Hal Ehwal Agama UMNO dan AMANAH.
Antara NGO yang bergabung di bawah GKUM adalah Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Haluan Malaysia (Haluan), Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) dan Pertubuhan Kumpulan Profesor G70 (G70).
Comments