1.2 juta warga China tidak keluar dari M'sia dakwaan lama, cetus kekeliruan
- Akmal Manaf

- 19 minutes ago
- 1 min read

Perbuatan penyokong pembangkang yang tidak bertanggungjawab mengitar semula kandungan yang telah diperbetulkan berkenaan kemasukan pelancong China yang masuk dan tidak keluar dari Malaysia demi meniup sentimen perkauman serta kebencian amat dikesalkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menegaskan, dakwaan kononnya pihak kerajaan ‘memberikan kewarganegaraan secara borong’ kepada warga asing serta dakwaan 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia adalah tidak benar sama sekali.
"Perkara itu telah dijelaskan secara rasmi dan fakta mengenainya boleh dirujuk melalui kenyataan saya sendiri serta laporan media.
"Namun, masih ada pihak yang sengaja mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetulkan semata-mata untuk mengelirukan rakyat serta meniup sentimen perkauman dan kebencian.
"Penyebaran fitnah seperti itu bukan sekadar mencemarkan nama individu atau institusi. Lebih membimbangkan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan negara," katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, Saifuddin menyeru rakyat agar menyemak kesahihan sesuatu maklumat daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
"Jadilah pengguna media sosial yang bertanggungjawab. Fakta tetap fakta. Data tetap data. Jangan biarkan fitnah mengatasi kebenaran," ujar beliau lagi.
Sebelum ini, tular beberapa poster kononnya KDN meluluskan kewarganegaraan secara borong dan hal itu diulang siar dalam platform media sosial.




Comments