Jan 20, 20222 min

Demonstrasi depan Parlimen tuntut Azam Baki letak jawatan

Membantah tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mahu meneruskan perkhidmatannya seperti biasa, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, termasuk dari Kedah dan Pulau Pinang mengadakan tunjuk perasaan aman di hadapan jalan masuk ke bangunan Parlimen, pagi tadi.

Tunjuk perasaan pada pukul 10.00 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Pemuda Amanah, menjelang serahan memorandum pelbagai pihak kepada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia mendesak isu pemilikan saham Azam dibahaskan.

Dalam pada itu laungan 'Undur Azam Baki', 'Lawan Rasuah' kedengaran sejak seawal jam 9.50 pagi diketuai oleh Ketua AMK Kedah, Mohamad Firdaus Johari dan disambut oleh kira kira 50 demonstran.

Anak muda berarak membantah sikap Azam baki meneruskan perkhidmatan dan enggan bercuti

Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir kemudiannya memberi ucapan sebaik sahaja Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Amwar Ibrahim tiba bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan beberapa Ahli Parlimen lain

Akmal berkata, pergerakan pemuda dan NGO mengemukan memorandum 8 tuntutan kepada SPRM

"Memorandum kita serahkan kepada 3 pihak, pihak pertama kepada PM, kedua Speaker dan sebagai simbolik hari ini, kita serahkan kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

"Seperti yang kita sedia maklum, Ketua SPRM Azam Baki telah memiliki jutaan saham pada 2015 yang mana beliau telah membuat pengakuan itu adalah wang adiknya.

"Semalam SC telah menyatakan bahawa beliau sebenarnya yang mengarah membeli, mengawal akaun tersebut. Walau sebelum ini Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar cuba membersihkan beliau tetapi itu menimbulkan polemik yang lebih besar kerana dilihat proses semak dan imbang dalam SPRM tidak berfungsi lagi.

"Isu ini mencalarkan imej dan reputasi SPRM jika Azam Baki sebagai orang nombor satu di institusi tersebut terpalit dengan skandal," katanya.

Memorandum diserahkan kepada Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim

Sejurus selepas 8 tuntutan dibacakan, memorandum berkenaan diserahkan kepada Datuk Seri Anwar.

Anwar berjanji akan membawa perkara itu dan akan mendesak Perdana Menteri Malaysia untuk bertanggungjawab menyelesaikan kemelut yang melanda.

"Masalah rasuah ini telah menjadi sistemik, ia menyeluruh. Kalau tidak ada ketegasan untuk menangainya seluruh sistem akan runtuh akibat rasuah.

"Kita akan mendesak (PM) tindakan segera diambil," katanya.

Sementara itu Mohamad Sabu pula berkata rasuah menyebab Indonesia mundur dalam rejim terdahulu.

"Indonesia negara rasuah, dulunya negara mundur, tanpa rasuah mereka maju. Malaysia sedang mundur kerana rasuah berleluasa," kata beliau sinis.

Lapan tuntutan kepada SPRM adalah:

1. Menggantung serta merta tugas Azam Baki

2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja

3. Meminda Akta SPRM 2009 bagi memperkasa intergriti, keteluasan

4. Meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen termasuk melantik ketuanya

5. Prosiding Jawatankuasa Kira kira atau Jawatankuasa Hak dijalankan secara terbuka kepada orang awam dan keterlibatan secara langsung pihak media

6. Ketua Pesuruhjaya mesti mengisytiharkan harta kepada umum sebelum pengesahan lantikan

7. Memperkenalkan undang undang hidup melampaui kemampuan. Individu perlu membuktikan kekayaan yang diperolehnya sebelum dilantik ke jawatan awam

8. Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menjamin perlindungan lebih baik.

    1