Zainal Fikri optimis sokongan pengundi DUN Sungai Lui
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir menyifatkan kesiapsiagaan jentera di kawasan itu berada pada tahap terbaik apabila hampir 20 Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) telah diwujudkan menjelang pilihanraya.
Beliau berkata, jumlah itu jauh melebihi perancangan asal iaitu 11 JDM selepas mendapat permintaan daripada jentera dan penyokong di beberapa kampung yang mahu pusat gerakan tambahan dibuka.
"Asalnya kita merancang untuk membuka 11 JDM, namun semangat ahli di peringkat akar umbi sangat tinggi sehingga ada kampung yang meminta satu atau dua JDM tambahan.
"Hari ini kita sudah mempunyai hampir 20 JDM," katanya ketika ditemui.
Menurut Zainal Fikri, persiapan pilihanraya turut dimulakan lebih awal, termasuk pembukaan bilik gerakan utama bagi memastikan seluruh jentera dapat bergerak secara lebih tersusun sepanjang tempoh kempen.
Beliau yang pernah bertugas di DUN Pertang berkata, kepulangannya ke Sungai Lui turut disambut baik oleh penyokong dan anggota parti yang telah lama menantikan beliau kembali berkhidmat di kawasan berkenaan.
Selain kekuatan jentera, Zainal Fikri percaya hubungan rapatnya dengan masyarakat setempat menjadi antara faktor yang mendorong penerimaan positif terhadap kempen yang dijalankan.
"Saya anak jati Sungai Lui dan pernah mengajar di sini selama 10 tahun.
"Ke mana sahaja saya pergi, ramai masih mengenali saya.
"Malah saya bertemu semula rakan-rakan sekolah yang sudah berpisah lebih 20 tahun," jelas Zainal Fikri.
Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada penduduk memberi keyakinan bahawa Pakatan Harapan mempunyai peluang yang baik untuk meraih sokongan pengundi.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai medan yang amat penting untuk menentukan hala tuju masa depan negeri.
"Bagi saya, ini bukan sekadar pilihan raya biasa, sebaliknya saya menganggapnya sebagai 'segala ibu pilihan raya'," katanya.
Zainal Fikri akan menghadapi saingan tiga penjuru melibatkan penyandang Dato' Mohd Razi Mohd Ali (BN) dan Mazrulhisham Abd Mansor (Bersatu).
DUN Sungai Lui mempunyai pengundi Melayu 79.8 peratus, Cina 5.7 peratus, India 8.1 peratus, Orang Asli 5.7 peratus dan Lain-lain 0.7 peratus.




Comments