
Pengudi di Kelantan perlu diyakinkan bahawa KEADILAN mempunyai kekuatan sebelum mereka yakin untuk memberi sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Rafizi Ramli berkata demikian dalam Konvensyen Pilihan Raya Negeri Kelantan 2023 yang diadakan di Kota Bharu, petang tadi.
"Pandangan saya di Kelantan dan Terengganu sama. Kalau nak kata orang Kelantan tertutup hati dia, hanya kenal Pas atau Umno pun tak betul. Sama juga di Terengganu, kalau nak kata kesetiaan pengundi di Kelantan terlalu pekat dengan Pas pun tak betul.
"Nak kata orang Kelantan sanggup berada dalam keadaan lebih daif berbanding negeri lain, sampai orang buat cerita bekalan air di Kelantan, infra di Kelantan (buruk) berbanding negeri lain dan orang Kelantan tak peduli maka tak betul. Naluri manusia dia nak lebih baik tetapi ada satu masalah, iaitu kalau pengundi merasakan KEADILAN di peringkat akar umbi tak ada kekuatan untuk ambil alih kerajaan.
"Walau dia nak tukar tetapi dia akan pindah undi ke parti nombor dua. Kalau pun dia suka dengan kita, dia tak yakin maka dia pindahkan sokongan kepada Umno," katanya.
Bagi Rafizi, walaupun KEADILAN tidak mendapat apa apa kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu namun ada hikmah di sebalik semua kekalahan itu.
Katanya, berada di bawah adalah lebih mudah kerana kekuatan KEADILAN tidak mampu diukur oleh pihak lawan.
"Walau PRU lepas kita kalah 0 kerusi tetapi ini peluang baik. Dulu kita tidak ada Kerajaan Persekutuan. Sekarang ada. Orang Kelantan boleh buat perbandingan kalau PH memerintah macam mana. Menteri dari KEADILAN gaya dia macam ini, program macam ini.
"Kalau kerajaan Kelantan bertukar, apa rasanya bertukar.
"Jadi itu memudahkan kempen kita. Bila Kerajaan Persekutuan ada prestasi lebih baik, kita kempen setiap hari, rakyat lihat hati budi Datuk Seri Anwar. Itu terus menterjemahkan sokongan KEADILAN di Kelantan," katanya lagi.