Wujudkan Garis Panduan Kebangsaan Pengangkutan Pelajar IPT
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 3 min read
Updated: 5 days ago

Oleh: Mohd Ikhmal Mohd Iskandar
ULASAN: Kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar dan orang awam di Jalan Raya Timur–Barat berhampiran Gerik melibatkan bas sewaan khas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah MPV bukan sekadar tragedi kemanusiaan tetapi satu seruan jelas agar sistem pengangkutan pelajar IPT dinilai semula secara menyeluruh.
Menurut laporan awal, bas dipercayai telah melanggar bahagian belakang MPV di selekoh tajam kira-kira jam 1:10 pagi sebelum terbabas dan terbalik. MPV pula dipercayai telah tercampak ke dalam parit.
Faktor waktu malam, selekoh berbahaya, dan keletihan pemandu dijangka antara penyumbang utama insiden.
Demi masa depan yang lebih selamat, sudah tiba masanya satu dokumen dasar digubal — "Garis Panduan Kebangsaan bagi Pengangkutan Pelajar IPT" dalam memastikan setiap perjalanan pelajar diurus secara selamat, tersusun dan bertanggungjawab.
Perjalanan pelajar perlu perlindungan dasar
Setiap semester, ribuan pelajar pulang ke kampus menaiki bas sewaan khas. Tanpa garis panduan nasional, kebanyakan perjalanan ini diurus oleh persatuan pelajar berdasarkan kemampuan sendiri tanpa rujukan formal terhadap risiko laluan, jadual perjalanan atau status teknikal bas.
Garis panduan ini harus menetapkan standard keselamatan minimum;
- Peranan IPT sebagai penyelaras dan pelulus perjalanan rasmi
- Kerjasama antara pelajar, universiti, operator dan agensi pemantau.
Laluan risiko tinggi wajib disemak
Jalan Gerik–Jeli terkenal sebagai laluan berbukit, berselekoh tajam dan berkabus, terutama waktu malam.
Laluan ini wajar diklasifikasikan sebagai “Laluan Berisiko Tinggi” dan sebarang penggunaan oleh pengangkutan pelajar perlu:
- Disemak melalui sistem laluan risiko yang dikendalikan MIROS/APAD;
- Mendapat kelulusan khas, jika melibatkan waktu malam atau perjalanan berkumpulan besar; dilengkapi dengan papantanda amaran, jalur gegaran dan pemantauan GPS.
Masa perjalanan dan risiko keletihan
Kejadian berlaku sekitar jam 1:10 pagi, waktu yang secara saintifik dikenali sebagai tempoh tinggi risiko "micro-sleep". Oleh itu, perlu diwujudkan dasar masa perjalanan seperti:
- Mengelakkan perjalanan antara jam 12:00 tengah malam hingga 6:00 pagi kecuali dengan justifikasi khas;
- Menetapkan dua pemandu bergilir untuk perjalanan melebihi empat jam;
- Menyerahkan rekod rehat dan jadual memandu kepada penganjur/IPT sebelum berlepas.
Lapisan tambahan bas diperlukan
Semua bas sewa khas memang tertakluk kepada pemeriksaan berkala oleh PUSPAKOM. Tetapi itu sahaja tidak mencukupi.
Keselamatan sebenar bermula sebelum perjalanan:
- Pemeriksaan teknikal pra-perjalanan wajib dan disahkan secara bertulis;
- Semakan status insurans, lesen pemandu dan rekod syarikat;
- Penggunaan sistem GPS masa nyata dipantau oleh IPT dan pihak berkuasa.
Tanggungjawab bersama, bukan menuding
Garis panduan ini tidak bertujuan menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia menekankan bahawa keselamatan pelajar adalah amanah bersama:
- IPT sebagai penyelaras dan pemantau perjalanan rasmi;
- Operator bertanggungjawab menyediakan pemandu dan kenderaan yang sah dan selamat;
- Agensi seperti JPJ, MIROS & APAD perlu menyokong dengan data laluan, audit dan pemantauan berterusan;
- Pelajar pula harus diberi kesedaran tentang hak dan keselamatan perjalanan mereka.
Kajian menyeluruh sebagai asas polisi
Langkah seterusnya ialah pelaksanaan kajian menyeluruh oleh:
- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), MIROS dan IPT dengan kerjasama operator dan agensi penguatkuasa;
- Analisis tren perjalanan, risiko laluan, masa bertolak dan pola keletihan pemandu;
- Penilaian semula SOP perjalanan pelajar yang boleh diselaraskan dan dilaksanakan di seluruh IPT.
Hasil kajian ini perlu diguna pakai untuk membentuk dokumen rasmi:
“Standard Keselamatan Perjalanan Pelajar IPT”.
IPT dalam sistem tindak balas kecemasan
IPT juga perlu dilibatkan secara langsung dalam rangkaian respons kecemasan nasional. Ini termasuk:
- Sistem pelaporan dan pemantauan real-time sekiranya berlaku kemalangan;
- Saluran komunikasi terus antara IPT, hospital dan agensi penyelamat;
- Bantuan psikososial serta makluman awal kepada keluarga pelajar terlibat.
Nyawa pelajar amanah bersama
Tragedi ini tidak harus dilihat sebagai kes terpencil. Ia adalah satu peringatan bahawa nyawa pelajar tidak boleh dipertaruhkan kepada kebiasaan yang tidak terkawal.
Garis Panduan Kebangsaan bagi Pengangkutan Pelajar IPT bukan sekadar cadangan dasar, ia adalah langkah wajar, perlu dan bertanggungjawab untuk melindungi anak-anak kita agar tragedi seperti ini tidak lagi berulang.
Penulis merupakan penganalisis pengangkutan
コメント