
Tindakan Wanita MCA untuk menganjurkan program karate bagi menangani keganasan domestik dan jenayah tidak akan menyelesaikan isu keganasan rumah tangga.
Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq menegaskan bahawa keganasan rumahtangga adalah keganasan yang melibatkan ahli keluarga dan bukan sahaja melibatkan keganasan fizikal tetapi juga keganasan emosi, harta benda dan penderaan secara seksual.
Katanya lagi, pemandiri keganasan rumahtangga bukan terdiri daripada wanita sahaja, malah turut melibatkan lelaki, kanak-kanak dan warga emas.
"Dalam menangani isu keganasan domestik dan rumahtangga, menggunakan keganasan secara fizikal atau membalas keganasan dengan keganasan fizikal bukanlah penyelesaian yang baik.
"Malah dalam mana-mana advokasi berkaitan keganasan rumahtangga, kita sama sekali tidak akan kompromi keganasan diselesaikan dengan satu lagi bentuk keganasan yang lain.Ini adalah mesej yang salah kepada masyarakat awam apatah lagi Wanita MCA bukan organisasi terlatih dalam mengendalikan kes-kes keganasan rumahtangga," katanya.
Pada masa sama, Fadhlina juga mengingatkan kepada Wanita MCA bahawa ada perbezaan yang jelas dalam mempromosikan seni mempertahankan diri sebagai suatu kegiatan sukan yang sihat dan untuk mempertahankan diri.
"Tetapi ia bukan penyelesaian kepada isu keganasan.
"Kecuaian kenyataan wanita MCA ini menunjukkan bahawa kerajaaan PN sangat tidak kompeten dalam mengendalikan isu-isu yang melibatkan keselamatan dan perlindungan terhadap pemandiri keganasan rumah tangga," katanya.