Oleh: Noraini Nordin
ANALISIS: Sejak awal, sebaik saja fasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram bermula pada hari penamaan calon 26 Ogos lalu, Wanita KEADILAN Pusat telah mula menggerakkan jentera kempennya di kedua-dua kawasan tersebut.
Wanita KEADILAN tidak pernah mengambil ringan usaha untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan dua kerusi itu.
Petugas kempen wanita telah 'berkampung' dan bekerja bersama-sama Wanita Perpaduan (PH/BN) untuk mencapai kemenangan.
Pelbagai program diatur bersama, antaranya menyantuni pengundi seperti walkabout di pasar-pasar awam, kempen rumah ke rumah, sesi penerangan, berceramah, mengadakan program bersama pelbagai golongan komuniti, ziarah kasih dan sebagainya digerakkan.
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek sendiri beberapa kali 'turun padang' ke Pulai atau Simpang Jeram. Misi utama bagi membantu kedua calon PRK yang mewakili PH-BN menang bergaya.
Turut memberi kerjasama adalah beberapa lagi pimpinan wanita pusat, ketua-ketua wanita negeri dan juga ketua wanita cabang dari seluruh negara.
Kini, dengan kempen sudah memasuki fasa akhir sebelum hari mengundi esok, Wanita KEADILAN memberi jaminan akan terus ligat bekerja bagi memastikan kemenangan yang dicari akan benar-benar diperolehi.
Apa yang nyata, Wanita KEADILAN bukan sahaja terus bekerja tanpa kenal erti lelah untuk memastikan kemenangan berjaya diperolehi, walaupun lelah berkempen di PRN enam negeri yang baru berlalu belum lagi hilang, malah yang tidak kurang pentingnya juga ialah kerja-kerja kempen ini dalam masa yang sama berjaya merapatkan lagi hubungan sesama sendiri.
Semangat perpaduan di kalangan Wanita KEADILAN ketika ini boleh dikatakan sentiasa mesra dan berada di tahap amat memuaskan sekali.
Di sebalik memastikan kemenangan dalam dua PRK ini matlamat sebenar yang ingin dicari ialah memantapkan semangat perpaduan dan memastikan hubungan sesama pimpinan kekal mesra dan Wanita KEADILAN di bawah pimpinan Fadhlina sentiasa siap siaga turun ke mana juga medan juang selepas ini.
Comments