Kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) yang diumum pengerusinya Tan Sri Mahiaddin Yassin baru-baru ini dianggap separuh masak dan tidak cukup sifat.
Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menjelaskan, kabinet itu tidak melibatkan wakil kaum bukan Melayu yang menjadi sebahagian komposisi rakyat di negara ini selain penglibatan wakil dari Sabah dan Sarawak juga sangat kurang.
"Saya kategorikan Kabinet bayangan ini seperti Kabinet tidak cukup sifat kerana tidak melibatkan komponen yang paling utama.
"Misalnya, di mana wakil kaum bukan Melayu, iaitu kaum Cina, India, dan juga wakil Sabah dan Sarawak hanya satu portfolio sahaja, meskipun 29 portfolio diwujudkan.
"Kedudukan wanita bagaimana pula, berbanding dengan Kerajaan Perpaduan yang melantik lima wanita sertai Kabinet, kabinet bayangan hanya tiga wakil wanita. Ini disifatkan sebagai separuh masak," katanya dipetik Astro Awani.
Sementara itu, Mohammad Tawfik berkata walaupun kabinet bayangan PN dianggap tempang, namun berpandangan kerajaan masih wajar melibatkan mereka dalam perbincangan seperti mendapatkan makluman bagi pembangunan negara.
"Kita perlu libatkan ahli pembangkang, ini akan wujudkan kematangan politik baharu.
"Ketepikan pertelingkahan politik dan kita jadikan ini sebagai wadah semua Ahli Parlimen untuk bantu kerajaan. Jangan hanya pandai kritik, tetapi tiada idea untuk membina kepada Kerajaan," katanya lagi
Comments