top of page

'Wajib undi Pas hapus judi, waktu jadi kerajaan tidak hapus pun'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 5 hours ago
  • 1 min read

Pas sering menggunakan dalil agama bagi mempengaruhi pengundi termasuk dalam isu penghapusan judi, kata Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni.


Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu menyifatkan alasan parti berkenaan menggunakan dalil agama dalam propaganda perjuangan mereka hanyalah cara untuk mendapatkan kuasa politik.


"Pas selalu guna dalil untuk mempengaruhi pengundi. Dalam erti kata lain, ia suka menjadi penunggang agama.


"Mereka menggunakan alasan agama untuk gimik politik," kata Mohd Zawawi ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) yang mengatakan umat Islam wajib mengundi parti itu bagi menghapuskan judi.

Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni
Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni

Bagaimanapun laporan media sebelum ini menyebut bahawa, jumlah cabutan khas nombor ramalan 4-digit meningkat daripada lapan kepada 22 kali setahun pada era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Di bawah Kerajaan MADANI pada 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengurangan jumlah cabutan khas kepada lapan kali setahun, berkuat kuasa 1 Januari 2023.


Mengulas dakwaan Pas hanya memperjuangkan penghapusan judi ketika menjadi pembangkang namun tidak melakukannya sewaktu berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (2020 - 2022), Ustaz Mohd Zawawi berkata, perkara tersebut menunjukkan kecenderungan parti berkenaan mencari dalih meneruskan survival mereka dalam politik selepas gagal sewaktu memerintah.


"Ada sahaja dalih dan alasan jika tidak mampu atau tidak berupaya melakukannya," kata beliau sinis.


Terdahulu DUPP dilaporkan meminta orang ramai mengundi Pas sebagai satu-satunya jalan untuk memastikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi dapat dihentikan.


Penegasan sayap kanan Pas itu dikeluarkan selepas Mahkamah Persekutuan baru baru ini menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan pembatalan arahan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi di negeri berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page