
Berita palsu berhubung virus X yang tular sejak kebelakangan ini sedang ditangani oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) secara menyebar luaskan penerangan kepada rakyat bahawa virus berkenaan belum wujud.
Menteri KKD, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, virus X hanyalah peringatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada negara negara anggota agar tidak leka sekiranya muncul virus baharu sebagaimana virus Covid 19 lalu.
"Maksudnya kita perlu bersiap sedia dan mekanisme sedia ada perlu kita mantapkan.
"Dalam masa yang sama saya lihat banyak salah faham tentang maklumat berhubung virus X ini. Ada beranggapan jururawat dalam negara kita mesti diberi suntikan vaksin sekarang, padahal Kementerian Kesihatan telah menangkis atau menyangkal dakwaan tersebut.
"Ini satu berita palsu yang (sedang) tersebar," katanya ketika menjawab soalan media selepas merasmikan program gotong royong bersama IPK KL dan PPR Kg Limau, pagi tadi.
Sehubungan itu, Fahmi mahu rakyat Malaysia lebih peka kepada berita yang mereka terima dan memeriksa terlebih dahulu sebelum mempercayainya.
Atau beliau menyarankan mereka menonton rancangan baharu melawan berita palsu 'Biar Betul' yang ke udara pada 7.59 malam setiap hari bagi mengetahui berita palsu yang sedang berlegar dalam kalangan masyarakat.
"Setiap malam kita terbitkan satu sengmen bertajuk Biar Betul. Ia kerjasama di antara SKMM sebagai pusat aduan, sama ada berita fitnah atau berita tidak benar, atau wujud keraguan tentang kesahihan maklumat.
"Pihak Bernama, RTM sendiri melalui KKD kita kerjasama dengan kementerian lain bagi mendapat pengesahan terhadap berita yang tular.
"Sebagai contoh, hampir setiap hari kita akan dapat aduan adakah benar disediakan RM100 atau RM1000 bantuan. Isi borang ini, itu. Terlalu banyak maklumat salah seperti ini yang tular.
"Bila kita blok satu website yang tidak ada kaitan dengan kerajaan, untuk mendapat maklumat peribadi kita, penjenayah ini akan buka website lain. Jadi cara terbaik ialah kita tingkatkan kesedaran. Kita rujuk laman web rasmi kementerian," katanya.
Dalam isu Tiktok pula, ditanya sama ada KKD akan mengikut jejak langkah Indonesia yang mengharamkan penggunaan platform tersebut untuk menjual barang, Fahmi berkata, kementeriannya sedang meneliti perkara berkenaan.
"Ramai rakyat Malaysia menggunakan platform Tiktok Shop untuk menjual barang, tetapi masa sama saya akan minta pihak SKMM meneliti asas yang dinyatakan oleh kerajaan Indonesia untuk mengekang Tiktok Shop. Saya rasa pihak Tiktok perlu beri penjelasan kerana salah satu sebab dilarang di Indonesia ialah berkenaan predatory pricing. Kedua, maklumat peribadi rakyat yang berbelanja, kita tidak tahu ke mana pergi maklumat tersebut.
"Saya rasa semua media sosial, dia meneliti apa kita beli, kita tonton, ada beberapa isu yang saya lihat wajar untuk SKMM teliti dalam aspek personal data protection," katanya.
Selain itu, jelas Fahmi, beliau juga menerima aduan syarikat pengiklan tidak lagi mengiklan di media dalam negara sebaliknya memilih aplikasi Tiktok dan mengurangkan pendapatan syarikat media tempatan.
Hal itu juga, katanya diambil kira dalam penelitian berkenaan.
Comments