Veteran Reformasi turun padang pertahan kemenangan PH
- Sidiqin Omar
- 55 minutes ago
- 2 min read

Golongan veteran Reformasi perlu kembali memainkan peranan aktif dengan turun padang menerangkan pencapaian kerajaan serta mempertahankan kesinambungan perjuangan yang telah dibina hampir tiga dekad, kata Datuk Mustafa Kamil Ayub (gambar).
Beliau yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung dan Naib Presiden KEADILAN berkata, pengalaman veteran yang melalui perjalanan panjang perjuangan Reformasi sejak 1998 merupakan aset penting untuk membantu rakyat memahami hala tuju semasa negara di bawah Agenda Malaysia MADANI.
Menurutnya, ketika gerakan Reformasi diperkenalkan dahulu, ramai yang tidak memahami perjuangan tersebut, namun hasil usaha berterusan mendekati rakyat di kampung, surau, majlis masyarakat dan pelbagai peringkat akhirnya membawa perubahan besar dalam landskap politik negara.
"Dulu orang tidak kenal Reformasi. Kita pergi kampung-kampung, surau, majlis dan sekolah untuk menerangkan agenda perjuangan.
"Hari ini kita perlu teruskan semangat itu dengan membawa peneranga, dari agenda Reformasi kepada dasar Malaysia MADANI," katanya.
Beliau berkata, veteran KEADILAN kini mempunyai tanggungjawab untuk membantu menjelaskan pencapaian kerajaan serta menangkis kekeliruan dalam kalangan rakyat menjelang hari pengundian.
Katanya, perjuangan hari ini bukan lagi sekadar slogan, sebaliknya berkaitan usaha membangunkan negara, meningkatkan martabat bangsa dan memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
"Malaysia MADANI bukan soal slogan kosong. Ia adalah agenda membangunkan negara dan meningkatkan martabat bangsa," katanya.
Dalam masa sama, Mustafa Kamil menyeru jentera parti supaya berkempen secara sihat dengan mengetengahkan prestasi kerajaan tanpa menghina dan menjawab fitnah pihak lawan dengan fakta.
"Semangat kita bukan untuk menghina orang. Kita berlumba-lumba membawa kebaikan. Jangan fitnah, sebaliknya tunjukkan prestasi dan kerja yang telah dilakukan," katanya.
Beliau berkata, kekuatan perjuangan KEADILAN yang bertahan hampir 30 tahun membuktikan parti itu mempunyai pengalaman serta kemampuan untuk terus bersama Pakatan Harapan mempertahankan kemenangan gabungan ini dalam PRN Negeri Sembilan dengan kempen berbaki kira-kira seminggu.
