Umno cuba singkir raja di N Sembilan bukan derhaka? - MP DAP


Umno yang didakwa pernah terbabit dalam komplot untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta, sekali gus mencetuskan kemurkaan baginda tidak sepatutnya mendakwa pemimpin DAP derhaka mempertikaikan titah pengampunan tahanan rumah yang diperolehi bekas Perdana Menteri Najib Razak dari Yang di-Pertuan Agong.
Dakwaan itu terkandung dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen DAP yang menyifatkan tindakan Umno di Negeri Sembilan tidak akan terpadam daripada lipatan sejarah, meskipun Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Umno kemudiannya membuat pusingan U dan kembali mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
"Tindakan mencabar kedudukan dan cuba menggulingkan salah seorang daripada Raja-Raja Melayu merupakan satu perbuatan yang amat serius.
"Tindakan yang tidak menghormati lunas undang-undang ini merupakan satu bentuk penderhakaan yang tidak boleh dipandang ringan," kata kenyataan itu.
Ahli Parlimen berkenaan turut mendakwa Umno sehingga kini masih belum tampil memohon ampun kepada Tuanku Muhriz berhubung penglibatan mereka dalam komplot berkenaan.
Sehubungan itu, mereka mempersoalkan pihak yang sebenarnya mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu apabila usaha menyingkirkan seorang pemerintah negeri didakwa dilakukan secara tidak beradab.
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan itu turut menyentuh tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan dengan menegaskan bahawa parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut mereka, keputusan Anthony meletakkan jawatan mencerminkan penghormatan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan prinsip politik yang dipegangnya.
"Daripada sibuk menuduh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, ada baiknya kepimpinan Umno dahulu memohon ampun kepada Tuanku Muhriz dan bertanggungjawab menyelesaikan kemelut yang tercetus akibat perbuatan mereka sendiri," kata mereka.
Mereka menegaskan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diukur berdasarkan lantangnya seseorang menuduh pihak lain, sebaliknya melalui tindakan menghormati Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
"Menghormati institusi Raja-Raja Melayu bukan soal siapa yang paling lantang menuduh orang lain, tetapi soal siapa yang benar-benar menghormati Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Ahli Dewan Negara, Sheikh Umar Bagharib Ali; dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.




Comments