Umat Islam disaran solat hajat, doa atasi masalah jerebu - JAKIM
- Helmi Mohd Foad

- 30 minutes ago
- 2 min read

Umat Islam disarankan agar melakukan solat hajat bagi memohon kepada Allah agar dapat memulihkan keadaan berjerebu melanda negara yang dijangka berlaku sehingga hujung bulan ini.
Untuk itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan solat hajat dan bacaan doa di tiga masjid utama di bawah seliaan agensi itu malam ini susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, solat hajat dan bacaan doa itu akan dilakukan selepas solat Maghrib di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin masing-masing Putrajaya.
"Umat Islam diseru untuk bersama-sama melaksanakan solat hajat serta memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan perlindungan, kesihatan, keselamatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian ini.
"Semoga Allah SWT melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada sebarang kemudaratan, memelihara kesihatan dan keselamatan kita semua serta memulihkan keadaan di kawasan-kawasan yang terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jerebu melanda beberapa kawasan di Malaysia sehingga penghujung Ogos ini dengan ramalan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan keadaan itu berpotensi berlaku di Semenanjung dan Sarawak.
Bagi Lembah Klang, keadaan berjerebu diramal berlaku di beberapa kawasan termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya manakala Sarawak dijangka berdepan keadaan lebih berpanjangan sehingga menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Keadaan itu berlaku ketika kualiti udara di beberapa kawasan masih berada pada tahap tidak sihat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan setakat pukul 12 tengah hari hari ini, sebanyak 12 kawasan mencatat Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan tertinggi direkodkan di Sri Aman, Sarawak iaitu 164.
JAS akan terus memantau keadaan dan bacaan IPU dikemas kini setiap jam menerusi portal rasmi serta aplikasi MyJAS EQMS.
Situasi itu bagaimanapun menunjukkan sedikit perkembangan positif berbanding sebelah pagi apabila 16 kawasan mencatat IPU tidak sihat pada pukul 10 pagi.
Ketika itu Sri Aman merekodkan IPU 166, diikuti Serian (164), Nilai dan Samarahan masing-masing 162, Cheras (159), Putrajaya (158), Shah Alam, Seremban dan Johan Setia masing-masing 157 serta Tangkak (153).
Jerebu ketika ini turut dikaitkan dengan keadaan cuaca panas dan kering serta pembakaran terbuka selain pengaruh asap rentas sempadan khususnya di Sarawak.
Negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang lazimnya membawa keadaan lebih kering dan kurang hujan sekali gus meningkatkan risiko jerebu sekiranya berlaku kebakaran hutan dan tanah.




Comments