top of page

Ulang tahun pertama Ismail Sabri sebagai PM: Kerajaan BN - PN terbukti gagal



Ulang tahun pertama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) hari ini disambut oleh pelbagai laungan tidak puas hati dan kalimat sinis kerajaan gagal oleh rakyat prihatin.


Tidak cukup itu, sekumpulan anak muda menggagaskan Sekretariat Tolak Kerajaan Gagal yang akan berkempen ke seluruh negara agar rakyat tidak lagi menyokong BN - PN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Menurut Jurucakap Sekretariat Tolak Kerajaan Gagal, Syahmi Shamsudin, dalam 365 hari rakyat menjadi saksi sekalian banyak ketidakadilan yang dilakukan oleh pentadbiran gagal tersebut.


Katanya, kegagalan kerajaan Ismail Sabri bermula dari isu kedaulatan negara, penghakisan kehormatan terhadap hak asasi manusia, kegagalan mengurus bencana kemiskinan, pelecehan terhadap institusi-institusi awam negara sehinggalah terjejasnya masa depan orang muda, ibu tunggal dan kanak-kanak disebabkan polisi separuh masak yang dibawa oleh kerajaan gagal ini.


"Kesannya, tidak dihitung sehari dua tetapi impaknya cukup pasti akan menjejaskan bergenerasi lamanya. Contohnya polisi kerakyatan atau kewarganegaraan yang menjadi isu hangat dalam media massa.


"Apakah Ismail Sabri tidak terfikir pandangan seorang kanak-kanak setelah melihat kerajaan Ismail Sabri yang culas menjamin masa hadapan dia dan ibunya itu?


"Mana mungkin untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, negara ini dapat menyemai rasa cinta seorang bayi itu terhadap tanah airnya andai beginilah perlakuan yang dibuat oleh pentadbiran Ismail Sabri yang sepatutnya melindungi hak kewarganegaraan mereka sedangkan hak itu milik mereka.


"Tidak dengan itu sahaja, krisis kepercayaan terhadap demokrasi juga semakin luntur atas kesalahan yang memang patut diletakkan kepada pentadbiran autoriti sedia ada," kata Syahmi dalam sidang media di Kuala Lumpur, petang tadi.



Menurut beliau lagi, rakyat perlu melihat dengan fikiran terbuka bagaimana sidang Parlimen bulan lalu yang sepatutnya dibenar membahaskan isu tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah tidak dipedulikan dan tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat.


"Lihat bagaimana institusi Parlimen yang sepatutnya menjadi wahana perbincangan tentang isu-isu kepentingan negara seperti kes tuntutan ke atas aset Petronas oleh waris Kesultanan Sulu tetapi sebaliknya mengambil pendirian untuk menutup mulut dan melarang Ahli Parlimen membahas mengenai kedaulatan negara yang sangat genting.


"Apakah ini nilai yang ingin ditunjukkan kepada generasi akan datang bahawa institusi Parlimen yang sepatutnya diangkat tinggi dilihat hanya tempat untuk meluluskan kenaikan gaji ahli Dewan Rakyat, bukan membawa isu-isu yang melibatkan rakyat kebanyakan," katanya.


Justeru itu, tegas beliau anak muda dan rakyat prihatin terpanggil untuk mengadakan satu kempen besar-besaran yang memperlihatkan sisi hodoh dan bodoh pentadbiran Ismail Sabri berserta kuncu-kuncunya.


"Setelah setahun rakyat dipertontonkan dengan siri-siri kelemahan dan ketidakprihatinan mereka, kami dengan ini mengambil tugas mengadakan siri-siri jelajah yang agresif untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia bahawa yang mentadbir sekarang ialah pemimpin yang sesuai dengan kriteria yang dicadangkan oleh Almarhum Prof Syed Hussein Al-Attas, iaitu pemimpin Jadong (Jahat, Bodoh dan Sombong).


"Kami akan mengadakan ceramah di seluruh negara, protes-protes berterusan di jalan raya serta memperhebatkan penerangan tentang kegagalan kerajaan melalui media sosial supaya rakyat Malaysia sedar betapa pentingnya untuk kita tidak memilih pemimpin bebal seperti ini lagi," kata beliau.


Beliau turut menyeru rakyat Malaysia, khususnya anak muda yang sedar bahawa setiap pilihan yang mereka lakukan dalam PRU memberi kesan kepada masa depan mereka dan generasi akan datang.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page