UEC: Kembali kepada Dasar Pendidikan Negara, utamakan B. Melayu, sejarah
- Redzuan Shamsudin

- 5 days ago
- 2 min read

Penguasaan Bahasa Melayu dan kefahaman terhadap sejarah negara perlu kekal sebagai syarat asas dalam sistem pendidikan negara termasuk dalam isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC), kata Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu pengiktirafan UEC perlu ditangani berpandukan Dasar Pendidikan Negara, Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tanpa mengorbankan asas pembinaan negara bangsa.
"Dalam konteks ini, penguasaan Bahasa Melayu dan kefahaman sejarah negara bukan syarat kecil atau formaliti pentadbiran. Ia adalah asas pembentukan identiti nasional, kesetiaan kepada negara dan perpaduan rakyat berbilang kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerangka pendidikan negara dibina untuk menyatukan rakyat melalui bahasa kebangsaan, sejarah nasional dan nilai kenegaraan yang sama.
Katanya, sebarang sistem pendidikan yang mahu mendapat pengiktirafan rasmi atau laluan khas ke institusi awam mestilah selari dengan kerangka nasional tersebut.

"Kerajaan tidak perlu mewujudkan laluan khas untuk UEC. Jika dibuka ruang pengecualian kepada satu aliran pendidikan yang berada di luar sistem nasional, maka ia akan mewujudkan precedent berbahaya kepada sistem pendidikan negara secara keseluruhan," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu boleh melemahkan integrasi nasional serta menghakis kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan negara.
Tambahnya, keadilan perlu diberikan kepada semua pelajar yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mematuhi syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"Kita mengiktiraf hak masyarakat untuk mempelajari bahasa ibunda dan mengurus pendidikan komuniti masing-masing. Namun pengiktirafan terhadap kepelbagaian tidak bermaksud negara mesti mengorbankan dasar teras pendidikan kebangsaan," katanya.
Beliau yang juga Presiden TERAS Pengupayaan Melayu menegaskan bahawa sistem pendidikan kebangsaan perlu terus diperkukuh supaya lebih berkualiti dan diyakini semua kaum, selain memastikan semua aliran pendidikan menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Apa yang perlu diperkasakan ialah memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan supaya lebih berkualiti dan diyakini semua kaum.
"Memastikan semua aliran pendidikan menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menyatukan rakyat melalui kurikulum sejarah dan kenegaraan yang seragam.
"Juga mengelakkan politik pendidikan yang boleh mengundang polarisasi masyarakat," katanya lagi.




Comments