Tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor sebulan lalu berjaya menunjukkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan saling membantu menghadapi malapetaka.
Hal itu diungkapkan oleh Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan dalam majlis Penghargaan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali kepada 10 agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan.
"Ini (bantu membantu menghadapi tragedi) menunjukkan rakyat Malaysia seperti kita bukan berbeza, semua adalah rakyat Malaysia.
"Saya ucapkan terima kasih. Saya rasa tanpa mereka (pasukan terlibat SAR) kita tidak akan dapat keluarkan semua mangsa. Mangsa terakhir (dikeluarkan) adalah sehari sebelum Krismas, mereka meneruskan kerja dengan semua masalah, bukan senang.
"Ada banyak isu psikologi yang terlibat. Ini sesuatu yang luar biasa dan the best team work," katanya dalam sidang media malam tadi.
Menurut beliau, kesedihan dan emosi yang dirasakan oleh mangsa dan pasukan SAR sama seperti pengalaman dilihatnya dalam misi bantuan di luar negara.
Kata beliau, rakyat mungkin hanya menunggu dan mengira mangsa yang ditemui tetapi pasukan penyelamat menghadapi cabaran baharu setiap kali berusaha menemukan mangsa yang tertimbus.
"Memang kesungguhan 9 hari itu tidak boleh dibayangkan. Saya memang ada di hari pertama dan beberapa hari selepas itu.
"Memang prosedur SAR ini kebanyakan kita tak faham. Sebagai pegawai yang bertungkus lumus bukan mudah, kerana saya pernah pergi Gaza (Palestin) zero ground dan sebagainya. Saya faham ada banyak yang datang membantu masa itu
"Tetapi pasukan SAR hadapi cabaran baru (pada setiap mangsa) dan bukan senang nak atasi. Banyak mangsa yang terbabit dan saya pasti pasukan SAR pun psikologinya terkesan.
"Saya dari jauh nampak ibu dan anak (mangsa) berpelukan. Sebagai seorang doktor saya terasa, bayangkan pasukan SAR masa itu," katanya lagi.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm pada 16 Disember lalu meragut 31 nyawa manakala 61 yang lain selamat.
Runtuhan tanah berlaku sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.
Comments