Kementerian Perubahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan 3 perkara untuk mengelak projek sakit atau pun memulihkan projek yang terbengkalai.
Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasir, sejak task force projek sakit ditubuhkan beberapa bulan lalu pihak kementerian telah menjalankan usaha sebaik mungkin untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai, sama ada dari syarikat perumahan kerajaan mahu pun pemaju swasta.
"Pertama objektif dan pembawaan task force ini. Pertama soal kenal pasti. Kalau kita sebut projek sakit atau terbengkalai ianya amat dinamik. Jika kelewatan melebihi yang kita tetapkan maka kita umumkan sebagai sakit. Tiada kemajuan ditapak dan menteri kena isytiharkan projek itu terbengkalai. Mungkin dengan berlakunya intervensi KPKT, ia lancar semula.
"Kedua cara kita nak selesaikan yang mungkin melibatkan peranan kerajaan atau syarikat yang ada kaitan kerajaan seperti SPNB dan lain lain. Projek sakit ini banyak melibatkan pemaju swasta, jadi intervensi perlu bawa pihak terbabit untuk selesaikan.
"Kita juga perlu cegah sebelum projek jadi bermasalah. Jadi ada laporan berkala dari pemaju supaya KPKT boleh kesan. Bila ada amaran bermasalah kita dapat cegah daripada jadi lewat atau terbengkalai," katanya dalam sidang media di tapak pembinaan bangunan Aspire Residence, Sepang pagi tadi.
Projek yang dijangka siap pada 2019 itu tetapi terbengkalai cuba disiapkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selepas diberi perhatian menyeluruh oleh KPKT.
Menurut Akmal, tumpuan harus diberikan kerana setiap projek sakit menyebabkan pembeli menanggung kesusahan membayar ansuran rumah dan juga bayaran sewa tempat kediaman.
"Lawatan pagi ini kami menilai tahap kemajuan Aspire Residence, mengambil kira rintihan pembeli sebelum ini yang mahu melihat projek sakit yang berlaku ketika ini, kita dapat pulihkan sebaik mungkin.
"Untuk projek ini, berdasarkan rekod siap pada 2019, kita faham rintihan pada pembeli. Pada masa sama juga kita berterima kasih dengan pihak KPKT dan SPNB yang mencari jalan untuk menyelesaikan projek ini
"Sebagai contoh, perubahan besar dibuat terutama untuk menyegerakan projek yang lewat ini. Bagi saya berdasarkan penjelasan dari semua yang terlibat kita turun ke tapak, maksudnya semua agensi terkait, pihak PBT, pihak TNB dan sebagainya.
"Memang hasrat kita untuk pastikan projek yang sepatutnya siap tetapi belum siap kita pulihkan," katanya.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga mendedahkan projek lewat siap sehingga 31 Disember 2022 sebanyak 146 projek, manakala projek sakit sehingga 31 Disember 2022 sebanyak 384 projek.
Katanya rekod yang dikesan berdasarkan lesen KPKT jumlah keseluruhan projek perumahan ialah 2,979 projek iaitu sekitar 12%
"Bila kita lalui Januari, kita semak apa yang berlaku sehingga 31 Jan 2023 pula jumlah projek lewat 166 projek, projek sakit 437. Projek sakit bertambah daripada 3,138 projek keseluruhan. Berlaku peningkatan 1 % menjadi 13 %," katanya.
Namun, kata Akmal yang berjaya dipulihkan sehingga 31 Jan sekitar 33 projek yang menyediakan lebih kurang 3,000 unit rumah. Katanya, kalau semua rumah terjual maka jumlah keluarga yang dapat dibantu pada Januari adalah sekitar 3,000 keluarga.
Comentários