
Oleh: Abdullah Zaid
Ahli Parlimen Rodziah Ismail (PH - Ampang) mencadangkan tiga langkah bagi memperkasakan penyertaan tenaga kerja wanita di Dewan Rakyat hari ini.
Selaras dengan sasaran Ekonomi Madani yang ingin mencapai 60 peratus pembabitan wanita, Rodziah berkata, isu utama berkenaan penyediaan taska di tempat kerja dan institusi yang berkepentingan harus dipertingkatkan.
Polisi penyediaan taska di tempat kerja, katanya, bagi tujuan penyusuan ibu dan ia selari dengan keperluan wanita terutama mereka yang bekerja di bandar.
"Polisi penyediaan taska di tempat kerja ini diwujudkan sejak 15 tahun lalu untuk mengalakkan penyusuan ibu, tetapi kini ia tidak pratikal terutama di bandar.
"Ia kerana membawa anak anak ke dalam kereta memakan masa sehingga satu jam boleh mengundang kepada masalah lain.
"Jadi saya cadangkan taska di tempat kerja boleh disesuaikan dengan institusi taska bagi tujuan garis panduan daripada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, bagi menarik lebih banyak penglibatan wanita, Rodziah mencadangkan polisi kerja dari rumah dalam tempoh lima hari bekerja sebagai suatu alternatif yang perlu difikirkan untuk golongan tersebut.
"Komitmen bekerja dari rumah sebagai satu polisi kepada wanita khususnya kakitangan wanita. Dalam lima hari bekerja kita beri peluang dua hari di rumah dan tiga hari ditempat kerja bagi membolehkan diberi peluang kepada pembabitan wanita," ujarnya.
Dalam pada itu, wakil rakyat KEADILAN tersebut juga menekankan pembabitan wanita yang pernah bekerja perlu diberi perhatian untuk mendapat peluang kedua.
Hal itu menurutnya, golongan yang terpaksa berhenti kerja demi menumpukan komitmen kepada keluarga perlu diberi insentif terutama melalui latihan supaya lebih produktif seperti sebelum ini.
"Pekerja wanita dulunya tumpu kepada keluarga dan akhir terus tidak kembali ke alam pekerjaan kerana didowngrade (dipandang rendah) atau tidak berada di tahap yang setimpal sewaktu mereka bekerja dulu.
"Jadi perlu diberi sedikit latihan untuk memastikan golongan wanita berada di tahap sebelumnya, diberi peluang kedua dengan elaun sebaiknya," jelas Rodziah lagi.
Comments