top of page

Tiada sekatan peruntukan KKDW untuk jalan luar bandar – MoF

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

Tiada sebarang sekatan dibuat terhadap peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MoF), Johan Mahmood Merican.


Beliau berkata, kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku apabila peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya susulan komitmen KKDW yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan.


"Setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan Belanjawan tahunan yang telah diluluskan Parlimen.


"Tiada sebarang sekatan telah dibuat ke atas peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung jalan luar bandar. Peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Johan berkata, sejak beberapa tahun lalu, KKDW membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek-projek jalan luar bandar.


Menurut beliau, MoF kini bekerjasama dengan KKDW bagi menangani isu berkenaan, termasuk menyusun semula peruntukan kementerian itu berdasarkan keutamaan.


"Setakat ini, bagi tahun 2026, MoF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata MoF turut dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.


Johan menegaskan, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani kekangan pembayaran dan memastikan komitmen terhadap projek jalan luar bandar dapat diurus berdasarkan kedudukan peruntukan semasa.


Tahun

Peruntukan yang diluluskan (bilion)

Perbelanjaan sebenar (bilion)

2022

RM 1.1

RM 1.1

2023

RM 1.1

RM 1.8

2024

RM 1.3

RM 2.0

2025

RM 1.6

RM 2.3

2026

RM 2.1

RM 1.9*

*Perbelanjaan RM1.9 bilion sehingga Jun 2026


Sebelum ini isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), ditimbulkan oleh menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Timbalan Perdana Menteri itu mendedahkan, ada sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja di bawah KKDW dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar berdepan kelewatan bayaran daripada kerajaan.


Tegasnya, keadaan itu menyebabkan kontraktor berdepan masalah aliran tunai, termasuk ada yang terpaksa me nutup operasi, selain disaman pembekal bahan dan subkontraktor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page