Tiada bukti BN tambah undi PH dalam PRK Pulai, Simpang Jeram - Jalex Lee
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 2 min read

Pemuda UMNO Johor diingatkan agar meneliti fakta dan angka terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) pernah membantu Pakatan Harapan (PH) meningkatkan undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram.
Pengarah Pilihanraya Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Jalex Lee (gambar) berkata, analisis keputusan pilihan raya menunjukkan tiada bukti jelas bahawa sokongan pengundi BN telah diterjemahkan kepada peningkatan undi PH dalam kedua-dua PRK berkenaan.
Beliau berkata, di Simpang Jeram, PH memperoleh 14,640 undi pada PRN Johor 2022, manakala BN 6,953 undi dan Perikatan Nasional (PN) 2,136.
"PRK 2023 menyaksikan PH memperoleh 13,844 undi, manakala PN meraih 10,330 undi. Majoriti kemenangan PH bagaimanapun menurun daripada 7,687 undi kepada 3,514 undi.
"Keputusan ini menunjukkan undi PH kekal dan undi PN lebih dengan gabungan undi PN dan BN pada PRN 2022.
"Di Pulai pula, PH meraih 55,447 undi pada PRU 2022, BN (26,523) dan PN hanya 4,332 undi.
"PRK 2023 menyaksikan PH memperoleh 48,283 undi, manakala PN meraih 29,642 undi. PH berjaya mengekalkan kemenangan, namun majoritinya menurun daripada 28,924 undi kepada 18,641 undi.
"Keputusan itu menunjukkan undi PH memang menurun dan undi PN hampir sama dengan gabungan undi PN dan BN pada PRU 2022," katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan angka-angka tersebut, Jalex berkata, kesimpulannya cukup jelas bahawa dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram, tidak terdapat bukti bahawa PH memperoleh bantuan BN.
Sebaliknya, beliau berkata keputusan PRK Mahkota yang menyaksikan BN memperoleh 16,611 undi pada PRN Johor 2022, manakala PH meraih 11,445 undi, sebelum BN mencatatkan 27,995 undi dalam PRK Mahkota 2024, menunjukkan pola yang lebih jelas.
Keputusan itu ujarnya memberi gambaran bahawa penyokong PH telah memainkan peranan penting dalam membantu calon BN menambah majoriti serta jumlah undi.
"Justeru, kenyataan bahawa BN membantu PH di PRK Pulai dan Simpang Jeram tidak selari dengan data yang ada.
"Harap Pemuda UMNO jangan lontar kenyataan tanpa fakta dan angka yang kukuh," katanya lagi.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose berkata, DAP pernah meminta bantuan BN ketika berkempen dalam PRK di Pulai dan Simpang Jeram pada September 2023.
Noor Azleen dipetik berkata, peringatan itu dibuat selepas DAP Johor mengungkit semula BN pernah meminta bantuan DAP dalam PRK Mahkota.
"Tidak harus dilupakan AMANAH dan DAP pernah meminta pertolongan BN Johor semasa untuk memenangkan calon mereka di Pulai dan Simpang Jeram," katanya dipetik.




Comments