Ancaman yang diuar uar oleh beberapa pemimpin Pas kononnya membahayakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor dibantah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata tiada ancaman keselamatan atau perangkap ke atas Sanusi melainkan orang di sekeliling beliau yang mungkin mencuba taktik baharu bagi meraih simpati pengundi menjelang pilihanraya 12 Ogos ini.
"Siapa nak perangkap dia (Sanusi). Dah kena tangkap dah pun. Nak perangkap apa lagi.
"Hal ini macam sengaja nak create seolah olah ada usaha cuba menganiaya dan sebagainya.
"Ini bukan soal aniaya, soal hina raja hari tu bukan soal aniaya. Dia (Sanusi) kata plot sudah 6 bulan. Mana ada plot 6 bulan nak tangkap. Kita bukan tahu bila dia nak hina (Sultan Selangor). Jadi jangan sampai reka cerita mengarut
"Ini cuba nak tarik simpati orang supaya belas kasihan kepada dia," kata Mahfuz kepada Suara Keadilan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri ceramah di Sungai Petani yang sepatutnya turut dihadiri Sanusi, berkata Menteri Besar itu dinasihatkan agar tidak hadir kempen pilihanraya kerana ada 'perangkap' sedang dipasang musuh.
Justeru itu, apabila mendapat tahu semalam Sanusi hadir ceramah kelompok di DUN Alor Mengkudu yang ditandingi Mahfuz, beliau secara spontan memuatnaik video di Facebook menjemput Sanusi makan mee bersamanya di kedai Mee Abu yang terkenal di Alor Setar.
"Saya dapat tahu dia mai (datang) di tempat saya. Dalam DUN saya bertanding di Taman Saga. Dia kata dia main takraw, sepak raga tuju, dia ada perjumpaan, dia berucap. Orang dok tular.
"Isu dia, saya ajak dia makan mee, nak belanja dia. Sempena hari jadi dia. Sambil tu nak sembang isu REE. Sebab dia tak bersedia berdebat dengan Datuk Saifuddin jadi mai bersembang (dengan saya) sudahlah. Saya nak tau siapa betul yang curi (REE)," kata Mahfuz.
Sanusi dilaporkan tidak muncul dalam ceramah ceramah besar anjuran Pas-PN di Kedah sejak 4 - 5 hari lalu.
Ketidakhadiran beliau itu kononnya kerana terdapat ancaman keselamatan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas Sanusi kelmarin kerana cuba mewujudkan suasana simpati dalam kalangan rakyat Kedah ke atas beliau.
"Nampaknya reaksi terakhir (pemimpin Pas mengenai ketidakhadiran Sanusi) malam tadi semacam mencipta simpati, 'play victim'.
"Ini bukan watak Menteri Besar yang selama ini garang, agresif dan 'gung ho'. Isunya adalah tidak dapat hadir (ceramah) kerana ada maklumat tentang ancaman," katanya sinis.
Comments