top of page

TH ikut syor RCI, pulih, catat prestasi kewangan kukuh - Dr Zulkifli

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh tadbir urus institusi itu menerusi pelaksanaan pelbagai syor penambahbaikan yang dilaksanakan secara berperingkat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, laporan RCI perlu dilihat secara positif sebagai peluang untuk memperkukuh institusi berkenaan.


"TH telah dan sedang melaksanakan syor-syor penambahbaikan RCI secara teratur demi memelihara kepentingan pendeposit, pematuhan Syariah serta kelestarian operasi.


"Seiring dengan pembaharuan ini, TH terus mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh serta membuktikan pengurusan haji terbaik dunia menerusi kejayaan merangkul Anugerah Labbaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi secara konsisten.


"Pelaksanaan syor RCI dan pencapaian cemerlang ini juga menjadi pemangkin untuk TH terus mencipta kecemerlangan, memacu inovasi perkhidmatan, dan memberikan nilai pulangan yang optimum kepada para pendeposit," katanya dalam kenyataan.


Oleh itu, Dr Zulkifli menyokong penuh sebarang usaha bagi memantapkan lagi Tabung Haji agar terus diyakini oleh umat Islam Malaysia.


"Sehubungan itu, seluruh agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan sokongan padu bagi memastikan TH kekal mampan, sentiasa diyakini oleh umat Islam, serta berterusan menjadi peneraju pengurusan haji negara," katanya.


Dalam kenyataan sama, Dr Zulkifli berkata pihak beliau menyambut baik pendedahan laporan RCI berkaitan TH sebagai manifestasi komitmen berterusan Kerajaan terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.


Selama lebih enam dekad ujarnya, TH telah memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan serta urusan haji jutaan jemaah Malaysia, sekali gus membuktikan kedudukannya sebagai institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara dan model pengurusan dana Islam diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page