
KEADILAN Kemaman mendakwa Presiden Pas, Hj Hadi Awang telah melanggar arahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menghalang semua ahli politik dari menyampaikan ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau di seluruh negeri itu.
Dalam satu kenyataan mereka mendakwa tindakan Hj Hadi itu bukan sahaja tidak menghormati araham MAIDAM, malah dilihat mengingkari titah Sultan Terengganu.
"Arahan MAIDAM ini susulan daripada titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melahirkan rasa dukacita apabila ahli politik tertentu mengajar agama, menjadi khatib dan imam tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"Pimpinan Pas jelas dilihat tidak menghormati institusi agama negeri dan juga titah Sultan Terengganu," kata kenyataan Biro Komunikasi KEADILAN Kemaman itu.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika mengumumkan larangan menyampaikan ceramah, kuliah atau pengajaran agama membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara serta pemimpin berjawatan dan aktivis parti politik itu menjelaskan ia adalah bagi memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.
Ketetapan itu diambil sebagai menzahirkan rasa dukacita Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terhadap tindakan segelintir ahli politik yang terus berbuat demikian tanpa kebenaran MAIDAM.
Selain larangan itu, semua ahli politik juga tidak dibenarkan berperanan sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid seluruh negeri Terengganu.
Sementara dalam kenyataan serupa KEADILAN Kemaman mempersoalkan bagaimana Pas yang mendakwa mereka sebagai sebuah parti yang taat kepada Raja-raja Melayu bertindak mengingkari larangan tersebut.
"Ini adalah satu bentuk hipokrasi dan juga pembohongan yang nyata kepada rakyat.
"Pas jelas sebuah parti yang hanya berselindung di sebalik wajah agama namun hakikat sebenarnya Pas hanyalah sebuah parti yang menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk kerakusan membolot kuasa dan kekayaan semata mata," kata mereka.
Semalam Presiden Pas, Hj Hadi Awang berkuliah sebagaimana biasa di Masjid Rusila walaupun semua wakil rakyat di Terengganu dilarang memberikan kuliah agama di masjid.
Sebelum kuliah dimulakan, seorang jurucakap masjid memaklumkan bahawa Pesuruhjaya Pas Johor, Ustaz Abdullah Husin akan memberikan Kuliah Maghrib di masjid yang sama.
Hal itu menimbulkan persoalan sama ada kedua-dua penceramah itu mendapat pengecualian khas daripada pihak berkuasa agama Islam negeri.