top of page

Tertib urus beza pandangan dalam KEADILAN, tolak kritikan terbuka di media

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Feb 26
  • 2 min read

Ketika pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memberi tumpuan kepada agenda reformasi dan pemulihan ekonomi, perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan parti dilihat sebagai sebahagian daripada dinamika dalaman yang memerlukan pengurusan berhemah.


Pengerusi Biro Perpaduan Selangor, David Cheong Kian Young (gambar) berkata, dalam suasana politik negara yang masih berada dalam fasa pemulihan institusi dan pengukuhan ekonomi, setiap pimpinan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kestabilan dan keyakinan rakyat terus terpelihara.


Di negara ini katanya, rakyat menuntut kematangan, kejelasan dasar dan kesatuan arah bukan polemik yang mengundang persepsi perpecahan.


"Sehubungan itu, saya ingin menyatakan pendirian tegas dan berprinsip terhadap beberapa kenyataan dan pendekatan terkini oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.


"Dalam sebuah parti dan kerajaan yang dibentuk atas semangat reformasi serta pengorbanan dan perjuangan berliku oleh Datuk Seri Anwar, setiap perbezaan pandangan wajar diurus dengan tertib dan saluran yang betul, bukannya berdasarkan kepentingan peribadi.


"Malangnya, pendekatan Rafizi kadangkala menzahirkan kritikan secara terbuka di media tanpa melalui mekanisme dalaman parti, boleh menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan kesatuan parti serta keyakinan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut David lagi, pandangan tersebut juga selari dengan pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang sering menegaskan bahawa parti politik mesti berani melakukan muhasabah dan kembali kepada perjuangan asal demi rakyat.


Ujarnya, teguran yang jujur dalam parti bukan tanda derhaka, tetapi bukti kecintaan terhadap idealisme perjuangan namun teguran juga perlu disalurkan melalui mekanisme dalaman yang beradab dan berdisiplin.


"Sungguhpun terdapat percanggahan idealisme, kesetiaan kepada parti tetap diutamakan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi institusi dan parti mesti kekal kukuh.


"Segala usaha dan keputusan kepimpinan mesti memastikan bahawa matlamat serta harapan rakyat tercapai.


"Kita tidak menafikan hak mana-mana pemimpin untuk menyuarakan pandangan. Malah, wacana berasaskan data dan analisis merupakan kekuatan dalam demokrasi moden.


"Namun, apabila perbezaan itu dizahirkan secara terbuka tanpa melalui proses musyawarah dalaman yang sewajarnya, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa ego mengatasi rasional.


"Politik matang menuntut disiplin organisasi, keupayaan menerima keputusan kolektif serta kebijaksanaan membezakan antara kepentingan peribadi dan kepentingan bersama," katanya lagi.


Sehubungan itu, David yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang menyeru seluruh pimpinan dan anggota parti agar kembali kepada asas perjuangan iaitu integriti, keadilan dan khidmat kepada rakyat.


Beliau mengingatkan agar semua pihak tidak membiarkan ego mengatasi pertimbangan rasional sehingga boleh menjejaskan amanah rakyat.


"Politik matang bukan tentang siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang paling bertanggungjawab.


"Demi masa depan negara, marilah kita memilih kebijaksanaan berbanding keghairahan dan (memilih) kesatuan berbanding perpecahan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page