top of page

Tengku Zafrul rancang jelajah Pandan, Ampang, fahami isu setempat

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 5 minutes ago
  • 1 min read

Penasihat Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz (gambar) memaklumkan beliau merancang untuk turun menjelajah kawasan Parlimen Pandan dan Ampang bagi mendekati rakyat serta memahami isu setempat secara lebih dekat.


Menurut beliau, usaha itu penting untuk memastikan kepimpinan parti terus dekat dengan masyarakat dan memahami denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.


Tengku Zafrul mengakui dirinya masih baharu di dalam parti, bukan seorang yang sempurna dan masih memerlukan sokongan serta bimbingan daripada rakan-rakan dalam seperjuangan.


"Saya akan cuba selain daripada bekerja keras, untuk turun ke kawasan Ampang dan Pandan.


"Saya sedar saya masih banyak kekurangan. Saya perlukan sokongan dan bimbingan daripada teman-teman untuk menegur dan membetulkan jika ada kesilapan," katanya ketika berucap pada program Himpunan Setia Keadilan P100 Pandan di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor malam tadi.


Beliau menegaskan perbezaan pandangan dalam parti tidak seharusnya memecah-belahkan hubungan sesama anggota kerana semua pihak tetap berkongsi matlamat perjuangan yang sama.


"Walaupun tidak setuju dengan saya, saudara semua tetap teman saya dalam perjuangan," katanya.


Antara pimpinan MPN KEADILAN Selangor, bersama Otai Reformis yang hadir malam tadi
Antara pimpinan MPN KEADILAN Selangor, bersama Otai Reformis yang hadir malam tadi

Pada masa sama, Tengku Zafrul mengingatkan bahawa seorang pemimpin perlu bersikap rendah diri, berintegriti dan dekat dengan rakyat, bukannya gemar menyalahkan pihak lain.


Katanya, masyarakat hari ini semakin bijak menilai kepimpinan terutama dalam era digital yang menyaksikan setiap tindakan pemimpin diperhatikan rakyat.


"Jangan sesekali kita memilih pemimpin yang kerjanya hanya menyalahkan semua orang. Pemimpin tidak boleh sombong, mudah marah atau menggunakan kuasa secara salah," katanya lagi.


Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan demi memperkukuh perjuangan parti serta kebajikan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page