top of page

Tekad jadikan DUN Endau hab eko-pelancongan, agro moden - Saiful

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • Jun 30
  • 2 min read
Saiful (berbaju putih, tengah) bersama anak muda di DUN Endau
Saiful (berbaju putih, tengah) bersama anak muda di DUN Endau

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Endau, Saiful Nizam Samat, mahu memanfaatkan potensi besar Endau sebagai hab eko-pelancongan dan agro moden dengan memperkasakan sektor pelancongan tempatan serta memperkenalkan teknologi dalam bidang pertanian.


Beliau berkata, Endau memiliki kelebihan semula jadi yang sukar ditandingi, namun sektor pelancongan di kawasan itu masih belum dimanfaatkan sepenuhnya kerana kebanyakan pelancong hanya menjadikannya sebagai lokasi persinggahan sebelum ke pulau-pulau peranginan.


"Apabila bercakap mengenai pelancongan, Endau memang mempunyai keindahan alam semula jadi dengan pantai, sungai dan pulau. Namun realitinya, ramai hanya singgah sebelum meneruskan perjalanan ke pulau.


"Kita perlu mengangkat lebih banyak produk pelancongan tempatan seperti Pasir Lanun, Air Papan dan Pantai Mersing supaya ia menjadi destinasi pilihan pelancong, bukan sekadar tempat transit," katanya kepada Suara Keadilan.


Saiful ditemuramah wartawan SK, berazam bawa pembaharuan dalam bidang pertanian di DUN Endau
Saiful ditemuramah wartawan SK, berazam bawa pembaharuan dalam bidang pertanian di DUN Endau

Menurut beliau, sektor pertanian pula perlu diberi nafas baharu menerusi penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan hasil dan pendapatan penduduk luar bandar.


Berlatarbelakangkan pengalaman dalam industri automasi dan Internet of Things (IoT), Saiful Nizam berkata teknologi boleh membantu petani menguruskan ladang dengan lebih cekap, automatik dan mampan.


"Kita perlu membantu petani menggunakan teknologi moden supaya pengeluaran lebih tinggi, kos lebih terkawal dan pertanian menjadi lebih mampan.


"Saya percaya Endau mempunyai potensi besar untuk membangunkan pertanian berteknologi tinggi.


"Ramai penduduk sudah mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan di belakang rumah, jadi kita perlu membantu mereka berkembang," katanya.


Beliau turut mencadangkan supaya lebih banyak latihan, pendidikan dan sokongan teknikal diberikan kepada pengusaha agro tempatan agar mereka mampu menghasilkan produk bernilai tinggi dan bersaing di pasaran yang lebih luas.


Jelasnya, persepsi bahawa sektor agro tidak mempunyai masa depan perlu diubah kerana industri makanan dan pertanian kini semakin berkembang hasil kemajuan teknologi terutama dalam hal pemasaran yang boleh dilakukan secara digital.


"Walaupun Endau merupakan kawasan luar bandar dan berdepan kekangan infrastruktur, ia mempunyai tanah yang luas serta potensi besar untuk muncul sebagai kluster agro, perikanan dan eko-pelancongan.


"Dengan pemasaran digital dan penggunaan teknologi, hasil pertanian tempatan boleh dipasarkan lebih jauh. Saya yakin Endau mempunyai masa depan yang cerah jika potensi ini dibangunkan secara terancang," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page