top of page

Tangguh PRN, utamakan kepentingan rakyat - AMK Johor

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menyarankan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditangguhkan buat sementara waktu susulan keadaan semasa yang mencabar akibat konflik di Asia Barat.


Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad (gambar), berkata cadangan itu selari dengan pandangan pemimpin UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang berpandangan tiada keperluan mendesak untuk menyegerakan PRN pada ketika ini.


"Saya senada dengan Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bahawa tiada keperluan mendesak untuk menyegerakan PRN Johor.


"Tatkala dunia masih bergelut dengan ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan tenaga, kita seharusnya peka, prihatin dan sensitif terhadap keadaan semasa yang sedang ditanggung rakyat," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, rakyat ketika ini sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat, termasuk kos pergerakan yang lebih tinggi, sekali gus berpotensi menjejaskan kadar keluar mengundi.


"Dibimbangi rakyat mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi kerana terbeban dengan kos pergerakan yang semakin tinggi lalu mandat yang lahir berisiko tidak benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat Johor," jelasnya.


Beliau turut merujuk pengalaman PRN Johor 2022 yang mencatatkan kadar keluar mengundi hanya 54.92 peratus ketika negara masih berdepan situasi pandemik Covid-19.


Sehubungan itu, AMK Johor berpandangan bahawa penangguhan PRN adalah langkah wajar sehingga keadaan ekonomi dan sosial kembali stabil.


"Buat masa sekarang, kepentingan rakyat perlu didahulukan berbanding percaturan politik," tegasnya.


PRN Johor sebelum ini diadakan pada awal 2022 dan PRN berikutnya pada 2027.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page