Oleh: Helmi Mohd Foad
Seramai 2,200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama 900 pegawai telah ditugaskan di lokasi strategik di seluruh negara seperti di pusat membeli-belah bagi memantau harga barang keperluan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata penugasan di lapangan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan lebih berkesan dengan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini (Skim Harga Maksimum).
"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fuziah berkata, pihaknya telah membuat tinjauan di lapangan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim perayaan Tahun Baru Cina 2024 berkuat kuasa bermula 6 sehingga 14 Februari ini.
Jelas beliau, tinjauan dilakukan bagi memastikan semua pihak terutamanya para peniaga dapat mematuhi harga barangan yang telah diwartakan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
Sebelum ini kementerian mengumumkan sebanyak 11 jenis barangan yang diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024.
Barangan itu adalah udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak), kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), ubi kentang import (China), bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah.
"Skim Harga Maksimum itu dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit," kata Fuziah.
Jelasnya, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
Tambahnya syarikat pula jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bekerjasama dengan melakukan pemantauan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi," katanya.
Dalam pada itu, Fuziah memaklumkan semakan harga barangan boleh dibuat melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my.
Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dari industri, KPKM serta agensi di bawahnya dan input data yang dikutip oleh Bahagian Harga Barangan Negara (BHBN), katanya.
KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran WhatsApp iaitu 019-848 8000/019-279 4317; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Comentários