Tabung Haji pulih sebelum laporan RCI dibuka kepada rakyat - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 58 minutes ago
- 3 min read

Proses pemulihan institusi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu berjaya meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada kedudukan kewangan yang jauh lebih kukuh sebelum laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi itu didedahkan kepada umum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, keputusan kerajaan untuk memberi ruang kepada TH melakukan pemulihan terlebih dahulu membolehkan institusi itu memperkukuh kedudukan sebelum laporan RCI dibuka untuk pengetahuan rakyat.
"Kerajaan memilih untuk memberikan ruang kepada TH untuk memulihkan institusi ini terlebih dahulu. Hari ini, apabila kedudukan TH telah jauh lebih kukuh, kita memilih untuk membuka laporan ini kepada rakyat.
"Alhamdulillah, kerajaan ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada pengurusan TH yang baharu dan semua pihak terlibat yang berjaya memulihkan TH dengan cemerlang," katanya dipetik Bernama.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan menteri mengenai Laporan RCI Tabung Haji serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Zulkifli, ketika Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara pada penghujung 2022, TH masih berdepan proses menangani aset-aset legasi yang kurang berdaya saing dan bermasalah yang kekal dalam institusi berkenaan selepas 2018.
Katanya, pemulihan yang dilaksanakan turut membuahkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila TH menerima lima pengiktirafan Anugerah Pengurusan Haji Terbaik Dunia selama empat tahun berturut-turut.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan bahawa kepimpinan yang berwibawa, kompeten, beramanah dan berintegriti mampu menerajui TH dengan baik.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata Jemaah Menteri pada 29 Julai lalu sebulat suara bersetuju mendedahkan laporan RCI kepada rakyat untuk kali pertama serta membentangkan dan membahaskannya menerusi sidang khas Parlimen.
Kerajaan turut mengarahkan siasatan penuh dilaksanakan segera oleh badan penguat kuasa susulan dapatan dalam laporan berkenaan.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan serta menahan beberapa individu penting yang dikaitkan dengan penyelewengan dinamakan dalam laporan RCI.
"Tindakan tegas ini membuktikan komitmen berterusan pihak kerajaan dan badan penguatkuasa, bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa mahupun pecah amanah terhadap harta dan dana suci milik jemaah haji negara," katanya.
Zulkifli berkata tindakan berkenaan juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya siasatan terhadap dapatan RCI dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.
Simpanan pendeposit adalah amanah
Mengulas tanggungjawab TH terhadap pendeposit, Zulkifli berkata simpanan yang dikumpulkan dalam institusi itu bukan sekadar angka kewangan, sebaliknya melibatkan amanah rakyat daripada pelbagai latar belakang.
Katanya, simpanan itu termasuk wang yang dikumpulkan oleh ibu bapa untuk anak-anak serta simpanan guru, peniaga kecil, pesara, petani, nelayan, penoreh getah dan pemandu teksi.
"Mereka tidak menyimpan kerana mahu mengejar keuntungan semata-mata. Mereka menyimpan kerana mahu sampai ke Baitullah.
"Sebab itulah apabila amanah sebesar ini tergugat, kita tidak boleh berselindung di sebalik angka. Kita tidak boleh menyapu ke bawah tikar dan kita tidak boleh membiarkan naratif kepentingan politik mengatasi kepentingan pendeposit kepentingan umat Islam," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap keputusan berkaitan TH mesti berpaksikan prinsip amanah serta kepercayaan pendeposit.
Beliau berkata sebarang persoalan berkaitan pengabaian amanah perlu diselidiki bagi mendapatkan kebenaran, memperbetulkan kelemahan dan memastikan perkara sama tidak berulang.
RCI Tabung Haji yang diumumkan kerajaan terdahulu pada 2021 dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif dan dianggotai lima tokoh dalam bidang pentadbiran awam, perbankan, kewangan, syariah serta perakaunan.
Laporan setebal 211 halaman itu didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu dan mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan berkenaan turut mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan setakat 30 Julai lalu, manakala syor yang masih relevan sedang giat dilaksanakan.




Comments