Surat tawaran kepada bekas pemimpin UMNO Khairy Jamaluddin (KJ) untuk menyertai KEADILAN adalah palsu.
Ketua Penerangan KEADILAN Fahmi Fadzil menafikan surat tawaran tersebut dikeluarkan.
Hal itu dimaklumkan Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital menerusi ciapan di laman Twitter rasminya malam tadi.
"Surat palsu yang sedang berlegar dalam media sosial, harap maklum," katanya disertakan gambar surat palsu berkenaan.
Surat yang berlegar di media sosial sejak pagi semalam itu kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN dan ditandatangani Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Surat itu meminta Khairy untuk memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat berkenaan dan KEADILAN turun menawarkan jawatan Timbalan Presiden parti.
Khairy sebelum ini pada Januari lalu dipecat daripada UMNO atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan parti kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Comments