Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merupakan pemerintah yang sangat prihatin kepada pelaksanaan prinsip Islam, ancaman yang menggugat kesucian agama dan memastikan umat Islam sentiasa memperkukuhkan kekuatan serta kesatuannya.
Semua perkara itu telah dilaksanakan dengan penuh pertimbangan, kesaksamaan dan adil kepada seluruh rakyat, kata Selangor Royal Office dalam hantaran di Facebook.
"Antaranya baginda telah mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya mempertahankan penggunaan kalimah 'Allah' dan menegaskan dalam titahnya supaya rakyat yang bukan beragama Islam akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana diperuntukkan dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988," kata kenyataan Selangor Royal Office.
Kata kenyataan itu lagi, Sultan Selangor sentiasa mengambil berat tentang pentingnya perpaduan dan persaudaraan umat Islam dengan melarang masjid dijadikan medan menyebarkan propaganda politik kepartian.
"Masjid hendaklah menjadi tempat yang bebas dari sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian," tambah kenyataan itu.
Keprihatinan Sultan Sharafuddin dalam mengukuhkan perpaduan umat Islam dan menjaga keharmonian masyarakat telah dizahirkan melalui khutbah-khutbah yang disampaikan melalui mimbar-mimbar masjid.
Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor Ke-78, peranan yang telah dimainkan oleh baginda dirakam dalam Khutbah Jumaat bertajuk Penjaga Kemuliaan Islam yang dibaca oleh khatib di masjid-masjid di seluruh Selangor semalam.
Intipati penuh khutbah dan juga arkib senarai khutbah yang telah dibacakan sebelum ini boleh diakses di laman e-khutbah.jais.gov.my
コメント