Suku Penan jadi mangsa buka akaun bank, perhebat kempen anti-scam
- Akmal Manaf
- 4 hours ago
- 2 min read

Kerajaan, institusi kewangan dan agensi berkaitan digesa memperhebatkan kempen kesedaran anti-scam di kawasan pedalaman Sarawak bagi membendung eksploitasi sindiket penipuan terhadap masyarakat yang kurang pendedahan kepada pendidikan dan teknologi.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, beliau amat sedih menerima laporan bahawa terdapat masyarakat Penan menjadi mangsa sindiket penipuan kerana kurang pendedahan kepada pendidikan dan teknologi sehingga tidak memahami implikasi tindakan mereka.
"Akhirnya mereka pula yang ditangkap oleh pihak polis, didakwa di mahkamah dan dikenakan wang jaminan sehingga RM10,000.
"Bagi keluarga yang hidup dalam kemiskinan, jumlah tersebut adalah terlalu tinggi dan mustahil untuk disediakan.

"Akibatnya, mereka terpaksa ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan, sedangkan di rumah masih ada anak-anak kecil yang bergantung kepada mereka untuk meneruskan kehidupan," katanya menerusi satu kenyataan.
Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang mendedahkan, modus operandi sindiket itu adalah menawarkan sejumlah wang kepada penduduk kampung untuk membuka akaun bank atau akaun Touch 'n Go atas nama sendiri.
Menurutnya, ramai yang menerima tawaran tersebut tanpa mengetahui bahawa akaun mereka akan digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah seperti penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram.
Oleh itu katanya, semua Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, Tuai Rumah dan pemimpin masyarakat diseru supaya segera memberi penerangan kepada penduduk kampung agar jangan sesekali membuka akaun bank atau akaun e-dompet bagi pihak orang lain semata-mata kerana dijanjikan imbuhan.
"Saya juga ingin menyeru pihak polis dan pihak pendakwaan supaya setiap kes disiasat secara menyeluruh. Latar belakang suspek, tahap pendidikan, keadaan ekonomi serta kemungkinan mereka menjadi mangsa eksploitasi oleh sindiket hendaklah diberi pertimbangan sewajarnya sebelum sesuatu pertuduhan difailkan.
"Penguatkuasaan undang-undang mesti tegas terhadap jenayah, tetapi pada masa yang sama hendaklah adil terhadap mereka yang benar-benar menjadi mangsa," ujar beliau lagi
Abun menegaskan bahawa suku kaum di pendalaman Sarawak juga adalah mangsa penipuan sindiket, sama seperti mangsa yang wang mereka ditipu oleh sindiket berkenaan.
