Sukaneka reformis meriahkan Hari Keluarga Reformis PKORM
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 2 min read

Oleh: ShaifulAnuar S
Program Hari Keluarga Reformis anjuran Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) berlangsung meriah dengan penganjuran aktiviti sukaneka di Kelab Golf Bukit Beruntung baru-baru ini, sekali gus berjaya merapatkan ukhuwah antara reformis dan ahli keluarga mereka.
Program yang bermula pada sebelah pagi itu dimulakan dengan bacaan doa oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Ustaz Shamsul Firdaus, sebelum diteruskan dengan sesi senamrobik bagi menyemarakkan semangat para peserta. Majlis kemudiannya dirasmikan secara rasmi oleh Senator Amir Ghazali.
Pelbagai acara sukaneka menarik telah dianjurkan termasuk sepakan penalti dan pertandingan tarik tali yang menyaksikan penyertaan aktif keluarga daripada pelbagai peringkat usia. Program tersebut berjaya menghimpunkan hampir 1,200 peserta dari seluruh negara, termasuk reformis dari pelbagai negeri, menjadikan suasana program padat dan penuh semangat kekeluargaan.
Ahli Jawatankuasa PKORM yang menguruskan bahagian sukaneka, Mohd Fendi menyifatkan penyertaan hampir 400 peserta dalam acara sukaneka sebagai satu pencapaian yang amat menggalakkan.
"Kami teruja dengan jumlah besar peserta dari pelbagai negeri yang datang menyertai acara ini. Ia menunjukkan semangat perpaduan yang kukuh di kalangan reformis, dan saya dengan serta-merta mencadangkan agar aktiviti Hari Keluarga Reformis ini diadakan setiap tahun," katanya.
Sementara itu, Pengarah Program merangkap perasmi majlis, Senator Amir Ghazali turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan menyifatkan program tersebut berjaya mencapai objektifnya.
"Acara sukaneka hari ini telah berjaya mengikat tali silaturrahim di kalangan reformis dan keluarga mereka, menjadikan ikatan kita lebih erat dan kukuh," katanya.
Penasihat program yang juga Pengerusi PKORM, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa pula menegaskan bahawa program berkenaan bukan sekadar bertujuan hiburan, sebaliknya sebagai medium untuk memperkukuh semangat perjuangan reformasi dalam kalangan keluarga reformis.
"Melalui sukaneka ini, kita mahu memastikan bahawa semangat perjuangan reformasi terus hidup dan diwariskan kepada generasi akan datang," kata beliau.

Pada sebelah tengah hari peserta hari keluarga dijamu durian yang didatangkan khas dari Nibung Tebal sumbangan Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Kelab Golf Bukit Beruntung turut merakamkan penghargaan kepada PKORM atas pemilihan lokasi tersebut sebagai venue program. Mereka memaklumkan bahawa kemudahan kelab termasuk gelanggang badminton, dewan acara dan kolam renang telah disediakan sepenuhnya bagi memastikan kelancaran aktiviti keluarga sepanjang hari.
Program Hari Keluarga Reformis PKORM ini dilihat sebagai platform berkesan dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan serta menyemai nilai perpaduan dan semangat reformasi dalam kalangan masyarakat.









Comments