Subsidi minyak masak: Sejak eCOSS wujud 179 syarikat dinyahaktifkan
- Azuan Ab Rahman

- Jun 13
- 1 min read

Sebanyak 179 syarikat telah dinyahaktifkan daripada sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) kerana pelanggaran syarat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Fuziah Salleh berkata, pihaknya merekodkan 13,354 aduan pada tahun 2024, diikuti 5,320 aduan pada tahun 2025 selepas aplikasi mudah alih eCOSS diperkenalkan.
"Sejak eCOSS diperkenalkan, sebanyak 179 syarikat dinyahaktifkan daripada sistem selepas didapati melanggar syarat dan peraturan ditetapkan.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak mematuhi had kuantiti penyimpanan dibenarkan, membuat jualan melebihi had ditetapkan, menjual minyak masak bersubsidi kepada bukan warganegara, beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh serta mempunyai nisbah belian dan jualan meragukan.
"KPDN turut menerima pelbagai aduan, maklum balas dan cadangan berkaitan sistem berkenaan sejak diperkenalkan," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu tambahnya, pelaksanaan sistem eCOSS sebagai instrumen utama pemantauan pengedaran minyak masak peket bersubsidi akan terus diperkukuh bagi memastikan ia hanya dinikmati rakyat yang layak.
Dalam masa sama, KPDN tegasnya akan memperketat penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan subsidi termasuk dakwaan penggunaan MyKad oleh warga asing untuk membeli minyak masak bersubsidi seperti tular di media sosial.
Untuk rekod, lebih 5 juta rakyat Malaysia kini menggunakan aplikasi mudah alih eCOSS bagi pembelian minyak masak bersubsidi satu kilogram, dengan sebanyak 91 juta peket direkodkan terjual sejak sistem itu dilaksanakan 1 Mei tahun lalu.
Dr Fuziah turut menyifatkan peningkatan jumlah pengguna dan transaksi digital menunjukkan pengagihan subsidi semakin tepat kepada kumpulan sasar, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan.




Comments