top of page

Struktur binaan perlu ambil kira risiko gempa bumi masa depan - Onn

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
1 hour ago
2 min read

Arkitek dan jurutera disaran mengambil kira risiko gempa bumi sejak peringkat awal perancangan dan reka bentuk bangunan bagi memastikan struktur yang dibina hari ini lebih bersedia menghadapi kemungkinan gegaran pada masa hadapan.


Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar (gambar) berkata, kejadian gegaran dan tempias gempa bumi yang dirasai di beberapa kawasan di Malaysia, khususnya di Johor perlu dijadikan peringatan supaya aspek keselamatan struktur bangunan diberikan perhatian lebih serius.


Sehubungan itu, beliau berkata, aspek risiko seismik perlu diberi pertimbangan sejak peringkat awal perancangan dan reka bentuk sesuatu pembangunan, khususnya bagi kawasan yang berpotensi menerima kesan gegaran daripada sumber gempa serantau termasuk Sumatera dan Selat Melaka


"Reka bentuk struktur hendaklah mengambil kira keadaan tanah, lokasi, jenis bangunan serta tahap risiko gegaran yang mungkin berlaku.


"Kita tidak seharusnya hanya membina berdasarkan keperluan hari ini. Bangunan yang dibina sekarang mungkin digunakan untuk tempoh 30, 50 malah 100 tahun akan datang.


"Oleh itu, faktor ketahanan terhadap gempa bumi wajar diberi pertimbangan, khususnya bagi bangunan bertingkat, kemudahan awam dan pembangunan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.


Pada masa sama, Onn menyeru pemilik tanah, pemaju dan bakal pemilik bangunan agar bersedia memperuntukkan kos tambahan yang munasabah sekiranya diperlukan untuk meningkatkan tahap keselamatan struktur dan ketahanan bangunan terhadap gempa bumi.


Beliau berkata, kos tambahan untuk reka bentuk, bahan binaan dan sistem struktur yang lebih selamat jangan dilihat semata-mata sebagai beban.


Sebaliknya Onn berkata, ia merupakan pelaburan jangka panjang untuk melindungi nyawa, harta benda dan nilai bangunan.


"Pihak berkuasa, badan profesional, arkitek dan jurutera juga perlu terus menilai kesesuaian piawaian serta garis panduan reka bentuk tahan gempa berdasarkan tahap risiko sebenar di Malaysia dan perkembangan terkini dalam bidang kejuruteraan struktur.


"Kita mungkin tidak mampu menghalang gempa bumi daripada berlaku, tetapi kita mampu merancang dan membina dengan lebih baik bagi mengurangkan risikonya," ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Pejabat KEADILAN.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page