
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) digesa agar menghentikan kaedah intimidasi dan penyiksaan semasa melakukan soal siasat atau mengambil keterangan daripada saksi.
Hal itu dibangkitkan oleh Wanita Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Wanita PH mengingatkan SPRM agar tidak lagi mengulangi imej buruk terpalit dengan kes kematian saksi Teoh Beng Hock pada 11 tahun lalu atau Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di pejabat SPRM pada 2011.
Kes terbaharu yang melibatkan pegawai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed, Nurul Hidayah, menurut mereka, tidak sewajarnya menjadi petanda kembali SPRM ke era sebelum Malaysia Baharu.
"Adakah kaedah menakut-nakutkan dan menyeksa saksi ketika rakaman keterangan diambil adalah Prosedur Operasi Standard yang baharu diamalkan oleh SPRM di bawah Perikatan Nasional (PN)?
"Adakah ini perkara baharu di bawah arahan Kerajaan PN di mana mereka yang telah dipanggil ke pejabat SPRM harus bertahan semasa soal siasat dan penyaksian saksi?" tanya Wanita PH yang diwakili Exco Selangor Rodziah Ismail dari KEADILAN, Senator Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (AMANAH) dan Chong Eng (DAP).
Nurul Hidayah, sebelum ini dalam laporan polisnya berkata, beliau dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM sebagai saksi, namun sepanjang sesi soal siasat dengan pegawai SPRM lelaki dan wanita, beliau mendakwa mengalami intimidasi, ancaman dan taktik menakutkan yang diperlakukan ke atasnya.

Sehubungan itu, Wanita PH mengingatkan SPRM bahawa salah satu cadangan daripada Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin (untuk IPCMC) hampir sedekad lalu, adalah menyediakan ruang siasatan dengan pengawasan video. Segala wawancara dengan suspek dan saksi hanya boleh dilakukan dalam ruangan tersebut.
"Sekiranya amalan seperti itu diterapkan secara komprehensif oleh semua agensi penguatkuasa termasuk SPRM, mungkin kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani dalam premis SPRM dapat dielakkan.
"Teknologi ini telah lama wujud, dan digunakan secara meluas di seluruh dunia. Mengapa ada kelewatan dalam menerapkan saranan ini ?
"Menggunakan teknologi sedemikian akan mendorong peningkatan profesionalisme dalam kalangan pegawai penguatkuasa, sekaligus membantu melindungi pegawai terhadap sebarang tuduhan penyalahgunaan, kekejaman dan tingkah laku tidak profesional.
"Kegagalan memastikan saranan ini dilaksanakan, secara tidak langsung menunjukkan kurangnya keinginan daripada pihak penguatkuasa untuk bersikap terbuka dan telus, malah mungkinkah ada sesuatu yang perlu disembunyikan mengenai kaedah, taktik dan teknik soal siasat ini," kata mereka lagi.
Oleh itu, Wanita PH mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki segera melancarkan siasatan ke atas salah laku dan penyiksaan saksi, malah semua suspek yang dibawa ke premis SPRM untuk disoal siasat.
"Kami juga meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, agar mengambil tindakan atas laporan polis yang dibuat oleh Nurul Hidayah.
"3 bulan di bawah PN, penyalahgunaan kuasa, penyeksaan dan ancaman secara terang-terangan terus berlaku di SPRM. Soal siasat menggunakan kekerasan berlebihan mesti diklasifikasikan sebagai tindakan jenayah dan mereka yang terlibat harus diambil tindakan," ujar mereka.
Wanita PH turut menyatakan solidariti kepada Nurul Hidayah dan rakan-rakannya, serta semua yang menjadi mangsa penyiksaan, ancaman serta taktik menakut-nakutkan oleh SPRM.