Soraya mahu manfaatkan pengalaman sektor maritim di DUN Sungai Balang
- Suara Keadilan

- Jun 30
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin mahu memanfaatkan pengalamannya dalam bidang maritim bagi memajukan sektor perikanan, antara nadi ekonomi penduduk kawasan itu.
Soraya, 31, graduan Kejuruteraan Maritim dari University of Southampton berkata, kawasan khususnya Parit Jawa dan Pantai Leka mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya dilengkapi dengan jeti serta kemudahan pendaratan bot yang lebih tersusun, di samping integrasi teknologi moden.
"Saya mahu gunakan pengalaman dalam bidang maritim untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi penduduk Sungai Balang.
"Pembangunan sektor perikanan tidak boleh dilihat hanya dari sudut tangkapan ikan, sebaliknya perlu merangkumi rantaian ekonomi lebih luas termasuk kemudahan pendaratan, pemasaran, pemprosesan hasil laut dan latihan kepada komuniti nelayan.
"Pendekatan itu penting bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan, mengurangkan kos operasi dan membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat," katanya dipetik laporan FMT.
Soraya yang juga Timbalan ketua Srikandi turut dikenali sebagai ‘akak kapal’ kerana pengalaman dalam industri perkapalan serta minyak dan gas sebelum menceburi politik.
Sementara itu tambahnya, sekiranya diberi kepercayaan mewakili masyarakat DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, beliau turut berhasrat memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta sokongan ekonomi digital bagi golongan muda.
Langkah itu jelasnya supaya golongan tersebut tidak perlu berhijrah jauh semata-mata untuk mencari peluang pekerjaan dan masa depan lebih baik.
Selain ekonomi setempat, Soraya berkata isu capaian internet lemah di beberapa kawasan di Sungai Balang selain berazam memperkasa wanita serta ibu tunggal melalui latihan kemahiran, bantuan bersasar dan peluang menjana pendapatan.




Comments