
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilihat sama sukarnya dengan PRN Melaka bagi pembangkang.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang digunakan dalam pilihan raya pada waktu Fasa Pemulihan amat ketat serta tidak dibawa berbincang bersama parti-parti yang bertanding sebelum dijadikan peraturan.
Hal itu, katanya, menjadi persoalan mengapa diadakan pilihan raya.
"Saya ingat kadang-kadang SOP tidak munasabah. Tidak bincang dengan parti dan dibuat secara dua kelas. Kelas atasan dan kelas bawahan. Berbeza.
"Kalau ketat untuk menjaga kesihatan itu saya tidak pertikai. Kalau betul serius nak buat pilihan raya, sebab apa? Macam di Melaka. Kalau dia (BN) menang (dapat cukup kerusi) kerajaan boleh tubuh, kalau kita menang, bubar (DUN). Kalau betul ada masalah mengapa hendak diadakan pilihan raya?
"Kalau tak ada masalah adakanlah pilihan raya. Itu perkara basic, termasuk di Sarawak.
"Keduanya SOP itu bincanglah dulu. Saya pakai (pelitup muka) cakap tidak selesa. Tetapi kerana menghormati keperluan menjaga kesihatan. Tetapi jangan (SOP) boleh longgar untuk orang orang tertentu," katanya selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya KEADILAN Miri, petang tadi.
Menjawab soalan wartawan mengenai rundingan kerusi dengan sekutu Pakatan Harapan, Anwar berkata hal itu berjalan positif.
"Ada beberapa kita akan runding lanjut. Dengan DAP tak ada masalah sangat, satu dua kes. Dengan PSB kita masih bincang kalau munasabah kita laksanakan," katanya.
Mengenai isu-isu yang sering melatari senario PRN Sarawak, bagi Anwar, ianya agak berbeza dengan Semenanjung. Di Sarawak banyak isu melibatkan pembalakan, Tanah Adat dan sebagainya.
"Pasukan Sarawak telah diberikan keutamaan dalam merangka strategi itu. Misalnya soal insfrastruktur asas, soal banteras rasuah. Soal NCR (tanah adat). Ini isu agak lain berbanding di Semenanjung," kata beliau lagi
Comments