Kerajaan melakukan rombakan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) apabila melantik Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee sebagai ketua pengarah baharu agensi itu berkuat kuasa hari ini manakala penyandangnya Datin Hakimah Mohd Yusoff ditukarkan sebagai penyelaras hal ehwal halal.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataannya hari ini.
"Pelantikan Sirajuddin adalah satu usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda reformasi perkhidmatan awam dan memperkukuh JAKIM sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.
"Kerajaan juga telah bersetuju melantik Hakimah sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal yang melibatkan koordinasi antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC) berkuat kuasa pada 1 Oktober.
"Pelantikan ini adalah bagi memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia," kata Shamsul Azri.
Hakimah sebelum ini dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim pada 21 Mac 2022.
Sirajuddin, 57, yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah & Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer), University of South Australia (UniSA).
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 2 Januari 1992 apabila dilantik sebagai Penolong Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Selangor.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dan juga sebagai Setiausaha Pertama (Halal), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.
Pertukaran tersebut dilakukan selepas seminggu pegawai tertinggi JAKIM termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Na'im Mokhtar mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya membincangkan soal pensijilan halal dan aliran yang menyimpang dari landasan Islam.
Anwar mahu tindakan serius dan bersepadu dilakukan oleh JAKIM dan agensi penguat kuasa bagi menyiasat serta membenteras segala bentuk aliran yang menyimpang sehingga ke akar umbi.
JAKIM baru-baru ini menjadi sasaran kritikan orang ramai susulan operasi besar-besaran pasukan polis ke atas 20 rumah amal Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang dikaitkan dengan ajaran al-Arqam dan menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak yang dilaporkan mengalami penderaan.
Pihak berkuasa turut melakukan tangkapan terhadap pemimpin tertinggi syarikat tersebut selain beberapa ahli syarikat itu telah didakwa di mahkamah atas kesalahan amang seksual, penderaan kanak-kanak dan ugutan jenayah.
Dalam isu GISBH, Sirajuddin ditampilkan dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika memberikan maklumat terkini perkembangan siasatan berkenaan Op Global yang dilancarkan pasukan keselamatan pada 11 September lalu.
Susulan serbuan besar-besar polis itu, orang ramai mempersoalkan mengapa Jakim lambat melakukan tindakan terhadap GISBH yang didapati meneruskan ajaran Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh al-Arqam, kumpulan ajaran sesat yang diharamkan kerajaan pada 1994.
JAKIM turut menjadi bahan kritikan apabila dilaporkan mengkaji cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal ke atas semua premis makanan yang menjual makanan kepada orang Islam. Kabinet kemudian membuat keputusan mengekalkan dasar sedia ada iaitu pensijilan halal dilakukan secara sukarela.
Foto kredit: Portal JAKIM
Commentaires